Update [ROMPIN] 349 MANGSA BANJIR DIPINDAHKAN >> Berita Malay 18


349 mangsa banjir dipindahkan di Rompin


Berikutan hujan lebat tidak berhenti semalam dari siang hingga malam, lima pusat pemindahan sementara dibuka di daerah ini melibatkan 349 mangsa daripada 95 keluarga.

Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Rompin, kawasan yang terlibat adalah Kampung Jawa, Kampung Kurnia, Kampung Kasing, Perkampungan Orang Asli Batu 8 dan Kampung Bukit Serdang, Kampung Hijrah dan Kampung Sepayang.

Jumlah mangsa paling ramai dicatatkan setakat jam 2 pagi tadi adalah di Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam iaitu seramai 148 orang daripada 38 keluarga.

Kemudian diikuti 94 mangsa daripada 26 keluarga di SMK Pontian Jaya, 50 daripada 12 keluarga dari Balai Raya Kampung Sepayang, 42 mangsa daripada 14 keluarga di Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu dan 15 mangsa daripada lima keluarga di Dewan Teluk Gading Tanjung Gemok.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Rompin, Mohd Normi Mat Noh, berkata, pihaknya telah menggerakkan operasi yang turut melibatkan PDRM, JBPM, JKM dan JKKK terlibat.

"Trend air menunjukkan peningkatan manakala bekalan makanan dan barangan keperluan telah dihantar ke pusat pemindahan yang dibuka," katanya.


Subscribe to receive free email updates: