Update [ROMPIN] TIKET FERI: SYARIKAT PERLU MOHON DARI MOT >> Berita Malay 18


Tiket feri: Syarikat perlu mohon dari MOT


Perubahan harga tiket feri penumpang ke Pulau Tioman tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya perlu membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) terlebih dahulu.

Ia tertakluk di bawah Seksyen 65D Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk menetapkan kadar tambang bagi feri-feri penumpang yang memberikan perkhidmatan perkapalan domestik.

Menurut, Ordinan itu sebarang perubahan perlu dikemukakan terlebih dahulu kepada MOT untuk kelulusan dan menjadi satu kesalahan jika tidak berbuat demikian.

Akibatnya, pihak tersebut boleh dikenakan denda atau hukuman di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) boleh ditarik balik.

Adun Tioman, Dato' Sri Mohd Johari Hussain berkata, semua pihak perlu berlapang dada dalam mengurus isu ini dan menanti keputusan daripada MOT kerana ia melibatkan kepentingan pengguna.

Menurutnya, ia juga menimbulkan rasa tidak selesa pengguna kerana kenaikan harga tiket tanpa kebenaran turut boleh menyumbang kepada tindakan susulan pihak yang tidak berpuas hati.

"Saya difahamkan telah ada pertemuan melibatkan syarikat feri dan jabatan kerajaan terlibat, jadi kita tunggu keputusannya.

"Kita juga tidak mahu perkara seperti ini berlaku dan kita akan cuba bendung mengikut undang-undang yang ada," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rompin - Endau Bridge Fun Run 2018 di Tanjung Gemok, pagi tadi yang turut dihadiri Ahli Parlimen Rompin, Dato' Sri Hasan Arifin.

Dalam pada itu, Mohd Johari turut menegaskan bahawa beliau tidak begitu menyokong cadangan menaikkan harga tiket feri dari Terminal Jeti Pelancongan Tanjung Gemok ke pulau peranginan terkenal di Pahang itu.

Beliau berkata, ia amat tidak sesuai dengan situasi rakyat sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Bagaimanapun, saya serah kepada budi bicara pihak MOT dalam membuat keputusan atas permohonan yang dibuat pihak syarikat feri.

Portal Sinar Online 20 Disember lalu melaporkan harga tiket feri ke Pulau Tioman bakal dinaikkan hampir 30 peratus kepada RM45.00 bagi dewasa dan RM40.00 bagi kanak-kanak untuk perjalanan sehala bermula 1 Januari tahun ini.

Berdasarkan notis oleh Syarikat Bistari Gemilang Travel Sdn Bhd yang tersebar di media sosial, tertera kadar kenaikan sebanyak RM10.00 berbanding RM35.00 bagi dewasa dan RM30.00 bagi kanak-kanak sebelum ini.

Bagaimanapun, harga tiket bagi penduduk tempatan Pulau Tioman yang memegang kad pengenalan berasal dari pulau itu kekal pada kadar RM25.00.

Harga baharu itu akan berkuatkuasa di kedua jeti pelancongan masing-masing di Terminal Jeti Pelancongan Tanjung Gemok dan Jeti Mersing, Johor yang menjadi pintu masuk ke pulau peranginan terkenal di Pahang itu.


Subscribe to receive free email updates: