GUA MUSANG: Seorang warga emas telah ditipu oleh dua lelaki yang dikatakan berwarganegara Indonesia yang telah menyamar sebagai bomoh di Bandar Gua Musang pada 10.45 pagi semalam.
Warga emas terbabit dipercayai telah mengalami kerugian sebanyak RM15,000 selepas barang kemas yang dimilikinya dilarikan dua lelaki terbabit.
Mangsa iaitu Hasnah Draman, 63, yang berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, berkata, sebelum kejadian itu berlaku dia dikatakan berada di hadapan sebuah kedai berhampiran pasar minggu bandar terbabit.
Menurut keterangannya, dia telah didatangi oleh dua lelaki yang berusia 30 dan 40 tahun di mana kedua-duanya menggunakan dialek Indonesia untuk bertanyakan lokasi kedai buku agama.
"Mereka kemudian bertanya sama ada mak cik ada menghidap apa-apa penyakit kerana dilihat seperti keletihan. Mak cik hanya beritahu menghidap penyakit asma dan sakit urat sebelum salah seorang lelaki memintanya menggenggam objek hitam yang diberikan."
"Beberapa minit kemudian mereka minta semula objek itu dan memintanya menyerahkan barang kemas termasuk dua cincin, satu gelang dan satu rantai sebagai syarat untuk sembuhkan penyakit."
"Lelaki itu berkata, barang kemas itu akan di pulangkan semula dalam satu sampul surat berwarna coklat yang hanya boleh dibuka dalam keadaan berwuduk," katanya ketika ditemu bual.
Pada awalnya, mangsa enggan untuk berbuat demikian, namun selepas didesak dia menyerahkan barang kemas terbabit.
"Selepas menyerahkan sampul surat itu, dua lelaki itu menuju ke Stesen Bas di Bandar Baru, manakala mak cik terus ke Hospital Gua Musang untuk menziarahi jiran. Ketika itu, baru mak cik buka sampul surat itu dan terkejut mendapati hanya terdapat duit syiling berjumlah RM2.20."
"Ketika itu baru mak cik sedar ditipu dan terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang," katanya.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, pihaknya telah mengesahkan bahawa mereka menerima laporan mengenai kes terbabit daripada mangsa.
"Kita sedang mengesan dua lelaki terbabit dan setakat ini belum membuat sebarang tangkapan," katanya. Sumber: Mymetro, Editor: Amira