KOTA BHARU: Seorang pembantu am sebuah hospital di dipercayai bekerja di sekitar Pasir Mas ditahan polis selepas disyaki membaling penapis air dan batu ke sebuah gereja di Jalan Hamzah, pada hari Ahad yang lalu.
Menurut Ketua Polis Kelantan, suspek yang berusia 34 tahun itu telah ditahan di rumahnya di Kampung Belukar, Pasir Mas, pada jam 1 pagi semalam selepas laporan diterima.
Pihak polis pada awalnya menerima laporan daripada orang awam bahawa suspek dikatakan telah terbabit dengan kes langgar lari di kawasan jejambat di Kota Bharu.
Selepas disiasat, suspek juga dikatakan terbabit dengan kes membaling objek keras ke gereja dan langgar lari ketika membuat pusingan U selepas kejadian itu.
Saksi yang berada di tempat kejadian bertindak mengekori suspek yang memandu kereta jenis Nissan Grand Livina milik isterinya sehingga ke kawasan rumahnya dan kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada polis yang sedang membuat rondaan ketika itu.
Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis Pasir Mas dan disyaki positif dadah jenis methaphetamine.
Suspek juga dikatakan turut melanggar sebuah motosikal selepas terbabit dalam kejadian tersebut.
Hasil daripada siasatan awal mendapati suspek mengalami halusinasi selepas kematian ibunya tahun lalu menyebabkan dia mendengar suara halus yang menyuruhnya melakukan perkara tidak elok di rumah ibadat bukan Islam.
Menurut pihak polis lagi, suspek yang isteri sedang hamil dan mempunyai seorang anak itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, membabitkan isu khianat di tempat ibadat. Sumber: Berita Harian, Editor: Amira