“Itu pun jika ia dilakukan dengan satu perjanjian jual beli dan nilaiannya RM270 juta, dan bukan RM1 bilion seperti didakwa pengkritik.
“Persoalannya, berapakah jumlah duti setem yang dibayar SPSB, adakah pihak berwajib telah mengembalikan amaun terlibat kepada SPSB, atau adakah SPSB telah dibayar oleh Felda setelah hak milik tanah itu dikembalikan?,” katanya dalam kenyataan media,hari ini.
Lip Eng juga mempersoalkan adakah tanah terbabit bebas dari bebanan atau dicagarkan kepada mana-mana bank untuk sebarang pinjaman.
“Paling penting, siapa pemegang sebenar hak milik tanah itu sekarang? Geran tanah masih didaftarkan di bawah nama SPSB atau Felda?
“Bolehkah Shahrir (Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad) mendedahkan geran tanah kepada umum,” katanya.
15 Januari lalu, SPSB menyerahkan semula 16 geran tanah Felda yang telah dipindah milik untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur Vertical City.
Tanah milik Felda yang bernilai RM270 juta itu mula menjadi kontroversi apabila Shahrir mendedahkan penukaran milik tanah berkenaan tanpa mendatangkan sebarang pembayaran kepada Felda.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.