Di dalam Sidang Media berkaitan isu tanah Felda yang dibangunkan sebagai Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), perkara-perkara berikut telah dipersetujui. Perkara tersebut disahkan oleh Pengerusinya, TS Shahrir Abdul Samad.
1. Felda telah memperoleh semula 16 geran tanahnya yang dipindah milik untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) hari ini daripada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB). TS Shahrir berkata,
Semua tanah yang terlibat yang telah dipindah milik tanpa pengetahuan kita telah dikembalikan kepada Felda berserta dengan dokumen yang diperlukan untuk melaksanakan pindah milik itu.
2. Usaha pindah milik semula itu berlangsung tanpa melibatkan sebarang kos. TS Shahrir berkata,
Pihak pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah itu kepada Felda tanpa kos dan telah menyerahkan kesemua suratan hak milik tanah tersebut untuk didaftarkan semula ke atas nama Felda.
3. Projek KLVC yang sedang berjalan di tanah itu akan diteruskan dan Felda serta SPSB berunding semula bagi penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan tersebut demi kebaikan semua pihak.
4. Felda tidak akan menarik semula laporan polis yang dibuat sebelum ini dan tidak akan mengganggu proses penyiasatan mengenainya.