Update Video: Beg Tangan Jemaah Wanita Dicuri Ketika Sedang Solat >> Berita Malay 18


KELANTAN – Seorang Jemaah wanita mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila beg tangannya berisi barang kemas dan wang tunai RM3,000 dilarikan pencuri di Masjid Kota, Kota Bharu, kelmarin.

Ketika kejadian berlaku, jemaah yang berusia 74 tahun itu sedang menunaikan solat subuh kira-kira jam 6.33 pagi.

Imam Tua Masjid Kota, Muhamad Lokman Zakaria berkata, kejadian disedari apabila warga emas itu menjerit sebaik begnya yang diletakkan di bawah kerusi direntap pencuri berkenaan.

"Warga emas itu uzur dan bersolat atas kerusi. Jadi begnya diletakkan di bawah kerusi sebelum suspek bertindak merentapnya dan disedari jemaah itu.

"Difahamkan, dia (mangsa) sempat memegang tangan pencuri itu sebelum menjerit: ‘Pencuri.... beg aku’. Jeritannya disedari kami dan ada beberapa jemaah lelaki berhenti solat dan cuba mengejar, tetapi tidak sempat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Di dalam masjid itu terdapat 12 CCTV yang dipasang.

Melalui rakaman CCTV tersebut suspek kelihatan cuba mengambil beg tangan Jemaah lain namun gagal apabila Jemaah itu sujud dan menindih begnya.

Selepas itu, suspek melangkah ke saf hadapan ketika Jemaah sedang sujud untuk mengambil beg tangan warga emas terbabit di saf paling hadapan.

Kejadian ini bukan kali pertama kerana pada tahun lepas sistem pembesar suara masjid hilang dipercayai di curi.

Muhamad Lokman menasihati jemaah supaya tidak membawa barangan berharga ke masjid dan lebih berhati-hati selepas ini.

"Apa yang saya kesalkan adalah kecurian begini berlaku di rumah ibadat kita, sedangkan rumah ibadat lain tidak berlaku kejadian sebegini," katanya.

Warga emas itu berkata dia membawa wang tunai dan barang kemas itu ke masjid kerana bimbang berlaku kecurian namun sebaliknya kejadian malang itu menimpanya di masjid menyebabkan dia kerugian besar.

"Saya reda dan percaya ada hikmahnya. Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya ke masjid, cumanya saya akan lebih beringat selepas ini dan takkan bawa beg lagi," katanya.  Sumber:Mymetro , Editor:Farhana

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :