KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan tidak diketahui identitinya itu telah ditemui dalam keadaan yang mendukacitakan apabila mayatnya dipercayai telah berulat di dalam sebuah kereta di sekitar kawasan Wakaf Mek Zainab.
Mayatnya itu telah ditemui dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipercayai berkunci dan difahamkan kenderaan itu sudah berada di lokasi terbabit sejak tiga hari yang lalu.
Menurut saksi iaitu Baharuddin Che Mat, 60, berkata semasa menjalankan tugasnya sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekitar kawasan perumahan PRIMA yang terletak berhampiran dengan lokasi kira-kira pada jam 9.20 pagi tadi di mana beliau sudah menyedari kenderaan itu berada di lokasi sejak hari Ahad yang lalu.
"Selalunya ramai pemikat burung dan pemancing yang datang parkir kenderaan di kawasan lapang itu dan saya menyangkakan mangsa adalah salah seorang daripada mereka.”
"Saya tergerak hati memeriksa kenderaan itu dan sebaik mendekati, alangkah terkejutnya apabila melihat keadaan muka dan pinggang kanan mangsa yang lebam serta berulat.”
"Mangsa yang dianggarkan dalam lingkungan usia 30-an berada di bahagian pemandu dalam keadaan kerusi dijatuhkan," katanya ketika ditemui.
Sebaik sahaja terkejut dengan penemuan itu, dia terus memanggil tiga rakannya yang lain yang berada tidak jauh daripada lokasi terbabit sebelum bertindak menghubungi pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai penemuan mayat terbabit.
Tambahnya lagi, pihak polis akan segera menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti identiti dan punca kematian.
Mayat itu bagaimana pun telah selamat dihantar ke hospital yang berdekatan untuk tindakan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta hadir memberikan penerangan untuk membantu siasatan. Sumber: Berita Harian, Editor: Amira