Update [BENTONG] BATAL KONTRAK KONTRAKTOR, KEKAL KONSULTAN PERUMAHAN PGBF >> Berita Malay 18


 Shahrir Abdul Samad



Felda mengambil tindakan membatalkan kontrak kontraktor Projek Perumahan Generasi Baru Felda (PGBF) tetapi mengekalkan konsultannya demi menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda yang majoriti menjadi projek gajah putih.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, banyak permasalahan PGFF disebabkan pengurusan terdahulu yang melaksanakan projek terlebih dahulu tetapi tidak menyelesaikan proses atau urusan berkaitan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, timbul beberapa masalah antaranya isu pengambilan tanah, kemudahan utiliti, kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Perkara itu timbul kerana pengurusan yang terdahulu tidak mendapatkan kerjasama dengan syarikat utiliti, PBT dan kerajaan negeri kerana mereka merasakan boleh melaksanakan projek secara bersendirian, sedangkan isu berkaitan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan mana-mana projek pembangunan perlukan kelulusan PBT.

“Kita menerima hakikat bahawa perkara itu salah dan mengaku ada berlaku kesilapan tetapi kita betulkan dengan persetujuan lembaga pengarah termasuk batalkan kontraktor tapi kekalkan konsultan supaya rekaan yang dimiliki arkitek boleh dipakai dan tidak perlu robohkan rumah yang terbengkalai,” katanya pada sidang media pada Program Preview Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut di sini, semalam.

Shahrir berkata, setakat ini 17 kontraktor ditamatkan perkhidmatan untuk perumahan PGBF dan pihaknya akan menyelesaikan masalah itu satu persatu supaya perumahan tersebut dapat dinikmati generasi baharu Felda.

Mengenai perancangan untuk tahun ini, beliau berkata, 5,000 unit PGBF akan dilaksanakan pada tahun ini dan diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada bajet 2018

“Felda menyediakan tapak rumah manakala Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina dan kini kita sedang melakukan pemantauan terhadap pemilihan tapak sesuai di beberapa tanah rancangan seluruh negara dan antara Felda yang kita telah kenal pasti ialah di Felda Chalok Barat dan satu lagi di Felda Kerteh 6,” katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata, perumahan yang dibina buat peneroka di Felda Lurah Bilut walaupun konsepnya sama tetapi ianya tidak dikenali sebagai perumahan PGBF tetapi dikenali sebagai Perumahan 1Felda.

“Harga untuk Perumahan 1Felda yang berkonsepkan rumah teres moden bernilai RM70,000 hingga RM 90,000 namun hanya ada 50 unit tetapi yang tunjuk minat 400 orang,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: