Update Bersih kecam SPR tambah 9 kategori pengundi pos baharu >> Berita Malay 18

Kumpulan reformasi pilihan raya berkata ia satu langkah ke belakang dari usaha memansuhkan undi pos.
postal-vote2Pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mempertikaikan penambahan 9 kategori pengundi pos dan menuduh pihak berkuasa mewartakan kategori-kategori itu secara sulit tahun lalu tanpa mewajarkan mengapa mereka layak mengundi dari jauh.
Bersih berkata langkah terbaru Suruhanjaya Pilinan Raya (SPR) satu langkah ke belakang dari sasaran memansuhkan undi pos dan menggantikannya dengan pengundian awal sehari sebelum hari pengundian.
“SPR tidak mempunyai alasan untuk membuka undi pos kepada kategori- kategori di atas yang amat besar dan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan hari ini, dan menambah Bajet 2018 membenarkan pemansuhan undi pos dan menggantikannya dengan undi awal.
Pada Isnin, SPR berkata mereka sudah bersedia untuk menerima permohonan daripada penjawat awam yang mahu mengundi secara pos jika majikan mengesahkan mereka perlu bertugas pada hari pengundian.
Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata selain kakitangan SPR, polis dan tentera, 9 lagi kategori penjawat awam boleh memohon untuk menjadi pengundi pos.
Kategori itu termasuk anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia; anggota dan petugas hospital serta klinik kerajaan; sukarelawan polis; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Bersih berkata membesarkan kategori pengundi pos adalah “bermasalah” dan “melanggar prinsip hak mengundi, keselamatan undi, integriti pilihan raya dan proses demokrasi”.
Pemantau itu juga berkata tiada garis panduan yang jelas tentang identiti “majikan”.
“Lebih membimbangkan adalah permohonan pengundian pos dalam negara telah dibuka sebelum tarikh sebenar pilihan raya dimaklumkan.
“Bagaimana penjawat awam boleh membuat permohonan undi pos tanpa mengetahui bahawa mereka sememangnya bertugas pada hari mengundi?” katanya.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :