Update DAP mahu Umno tunjuk bukti Robert Kuok salur dana atau mohon maaf >> Berita Malay 18

DAP hari ini mencabar pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Najib Razak dan setiausaha agungnya Tengku Adnan Tengku Mansor menunjukkan bukti parti pembangkang itu ada menerima dana daripada hartawan Malaysia, Robert Kuok.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Umno mesti memohon maaf sekiranya gagal mengemukakan bukti.
"Ini (dakwaan) adalah satu pembohongan. Kami mahu Umno, Najib atau Tengku Adnan menunjukkan bukti Kuok memberikan wang kepada DAP.
"Saya juga ingin tahu (jika wang diberikan). Sebagai setiausaha agung parti, saya tidak tahu beliau pernah memberikan DAP wang.
"Jika mereka tidak dapat menunjukkan bukti, mereka mesti memohon maaf kepada Kuok dan DAP," kata Guan Eng pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.
Minggu lalu, penulis blog Raja Petra Kamaruddin dalam portalnya berkata Kuok yang berpangkalan di Hong Kong menyalurkan dana kepada DAP.
Berikutan itu, pemimpin Umno termasuk Najib membuat komen yang mensasarkan hartawan itu.
Najib berkata ahli perniagaan jutawan yang digelar "raja gula" itu, berjaya dalam kerjayanya disebabkan bantuan daripada kerajaan.
Tengku Adnan juga dilaporkan mengkritik Kuok, mengatakan hartawan itu "menggigit tangan yang memberinya makan", dan melupakan asal usulnya. Beliau turut menuduh Kuok membangkitkan sentimen perkauman.
 "Saya tidak tahu kenapa beliau (Kuok) mahu mencetuskan sentimen dan kononnya mahu negara ini ditadbir oleh orang Cina. Ini boleh menjejaskan orang Melayu dan Bumiputera," katanya dipetik sebagai berkata di New Straits Times.
Guan Eng turut mengutuk akhbar arus perdana Barisan Nasional yang melaporkan kenyataan pemimpin Umno terhadap Kuok, dan hartawan itu menyalurkan wang kepada anak saudaranya James Kuok untuk didermakan kepada DAP.

Subscribe to receive free email updates: