Update KTMB Dan SPAD Teliti Semula Operasi Koc Wanita >> Berita Malay 18


Usaha bersama sedang dijalankan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi meneliti semula tatacara pengoperasian Koc Wanita bagi menjamin dan memastikan koc berkenaan digunakan khas untuk wanita sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata antara langkah yang dilaksanakan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan etika penggunaan koc khas itu.

Buat masa ini Koc Wanita yang dikhususkan untuk kaum wanita tidak dipandang penting oleh golongan lelaki. Tinjauan pada waktu puncak khususnya dapat dilihat kaum lelaki terutama warga asing bebas menguasai Koc Wanita tanpa rasa bersalah.

Mohd Rani berkata Polis Bantuan KTMB dengan kerjasama SPAD juga telah memulakan Operasi Penguatkuasaan dan Kempen Kesedaran Koc Wanita bermula 22 Februari lepas bagi membanteras isu pencerobohan Koc Wanita.

Selain daripada usaha pemerkasaan Koc Wanita yang sentiasa dijalankan oleh KTMB, beliau menyeru orang ramai agar dapat membantu dan menyokong KTMB dengan memperingati antara satu sama lain tentang kepentingan dan sensitiviti kos khas ini untuk keselesaan bersama.

Terbaru, viral di media sosial kes seorang wanita yang dihamun dengan kata-kata kesat oleh segolongan lelaki apabila ditegur menceroboh Koc Merah Jambu atau Koc Wanita dalam perkhidmatan KTM komuter.


KTM Berhad melalui perkhidmatan tren KTM Komuter telah memperkenalkan Koc Wanita pada April 2010 bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan untuk golongan wanita sebagai pengguna perkhidmatan tersebut.
Dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai etika penggunaan koc khas itu, KTMB telah membuat pemantauan secara berkala dalam tren dan di stesen-stesen oleh pegawai dan Polis Bantuan KTMB.
Dua Koc Wanita dalam set-set tren KTM Komuter juga mempunyai pelekat ikon wanita berwarna merah jambu dengan perkataan 'Wanita Sahaja', selain pengumuman secara berkala dalam tren dan di stesen-stesen sebagai pemakluman kepada para penumpang,katanya.

Platform penumpang juga telah disediakan ruang menunggu khas dengan kerusi berpelekat ikon wanita di Stesen KL Sentral pada masa ini dan akan datang di stesen-stesen utama yang lain, ruang beratur berpelekat ikon wanita dan papan tanda ruang menunggu khas untuk wanita.

Subscribe to receive free email updates: