Update [LIPIS] HUTAN MERAPOH PERLU DIWARTA HUTAN SIMPAN KEKAL >> Berita Malay 18


Hutan Merapoh perlu diwarta hutan simpan kekal



Kawasan hutan Merapoh yang sudah diluluskan untuk pembangunan pertanian perlu diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, usaha terbabit penting memandangkan kawasan berkenaan berada di kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai khazanah alam semula jadi yang mampu menarik kunjungan pelancong.

"Saya mahu kawasan ini disusuli pembaikan dan rehabilisasi, malah status kawasan ini yang belum diteroka ditukar status kepada hutan simpan kekal supaya tidak boleh diteroka," titah baginda pada taklimat isu pembalakan di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Merapoh, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob; Pengarah Perhutanan Negeri, Dato' Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Pertanian negeri Pahang (PKPP), Dato' Wan Bakri Wan Ismail.

Kawasan Hutan Merapoh seluas 687 hektar yang diberi hak milik kepada PKPP sejak 1992 mula dibangunkan untuk pembangunan kelapa sawit dengan proses pembalakan pada Jun 2017.

Bagaimanapun proses penerokaan di kawasan itu dihentikan pembalakan pada 15 November 2017 kerana gagal menyediakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar di bawah Perintah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam tempoh terbabit sebanyak 30 peratus kawasan hutan berkenaan telah diteroka, manakala sejumlah 468 hektar masih belum diterokai yang kebanyakannya adalah kawasan tinggi dan berbukit.


Subscribe to receive free email updates: