Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu pembinaan jalan raya serta infrastruktur lain di negeri ini dilaksanakan dengan lebih berkualiti dan bukan sub standard atau menggunakan barangan kualiti rendah.
Titah baginda, perhatian juga perlu diberikan terhadap pihak syarikat yang terlibat agar tidak mengutamakan keuntungan semata-mata sebaliknya mementingkan kualiti pembinaan.
"Saya nak nasihatkan supaya semua jalan raya di Pahang ini dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dari semasa ke semasa.
"Saya tidak mahu syarikat membina infrastuktur awam untuk kegunaan rakyat ini secara sub-standard atau kualiti yang rendah kerana mementingkan keuntungan semata-mata," titah baginda selepas melakukan tinjauan di KM30 Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands dekat Kampung Meter, Pos Betau di sini, semalam.
Hadir sama, Adun Jelai, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah JKR negeri, Dato' Ir Abdul Jalil Mohamed.
Sabtu lalu, jalan utama Sungai Koyan ke Cameron Highlands itu terjejas ekoran cerun runtuh sepanjang 55 meter (m) dan 5.7m lebar akibat hujan lebat serta kegagalan sistem pembetung yang menyebabkan ia patah lalu melemahkan struktur tanah berhampiran.
Bagaimanapun, tiada kehilangan jiwa serta kerosakan harta dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dan laluan ke Cameron Highlands masih boleh dilalui oleh kenderaan menggunakan satu lorong.
Tengku Abdullah bertitah, kejadian cerun runtuh yang berlaku di laluan Sungai Koyan-Cameron Highlands perlu dijadikan pengajaran dan pihak JKR perlu memperhalusi setiap kontrak yang diberikan kepada mana-mana syarikat.
Titahnya, pemantauan rapi juga perlu dilakukan di sekitar bukit bukau sepanjang jalan raya bagi menghalang kerosakan serius dari berlaku sekaligus mengelak terjadinya kemalangan nyawa atau harta.
"Saya nak mengingatkan juga ada enam lagi kawasan sepanjang laluan ini yang dikatakan bahaya dan sekarang sedang dipantau oleh JKR dan pihak polis dengan meletakkan papan tanda amaran.
"Saya harap setiap perkara diperhalusi dan dilaksanakan secara rapi supaya projek seumpama ini dibina dengan baik dan bertahan lama, bukan setakat 10 tahun saja malah cecah berpuluh-puluh tahun.
"Kalau kita perhatikan bangunan dan jalan lama boleh bertahan tapi sekarang jalan baharu yang runtuh. Saya tidak tahu kenapa dan kajian perlu dilakukan dengan lebih teliti dan rapi,"katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, hasil tinjauan yang dilakukan Tengku Abdullah yang turut menghubungi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof membolehkan peruntukan segera diberikan bagi membaiki laluan berkenaan.
Menurutnya, pembinaan jalan tersebut akan dilakukan dengan segera selepas siasatan lengkap dilakukan pihak JKR dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan hingga setahun.