Update MCA: Nazri tak ada hak minta Kuok lepaskan kerakyatan >> Berita Malay 18


Serangan pemimpin Umno terhadap tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok dengan dakwaan memberi dana kepada parti pembangkang boleh menjejaskan perpaduan kaum, kata MCA.
Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan dalam satu kenyataan berkata tuduhan yang dilemparkan beberapa pemimpin Umno dan Raja Petra Kamaruddin merupakan percubaan menyebarkan kebencian dan perpecahan.
"Mangsa (kepada tuduhan itu) bukan saja Kuok, tapi juga hubungan antara kaum," kata Ong.
Ong turut memetik Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang menggesa Kuok melepaskan kerakyatan.
"Menteri Pelancongan tidak ada hak meminta mana-mana rakyat Malaysia melepaskan kerakyatan. Itu bukan bidang kuasanya," katanya.
Ong menekankan Kuok bukan saja ahli perniagaan yang berjaya, tapi juga individu yang banyak berjasa kepada negara.
Sementara itu, jurucakap MCA Ti Lian Ker berkata serangan Nazri terhadap Kuok tidak akan membantu BN dan sebaliknya memberi manfaat kepada DAP.
"Robert Kuok sebagai ahli perniagaan mempunyai hak untuk menyokong mana-mana parti yang beliau mahu.
"Secara peribadi, saya percaya beliau sebagai ahli perniagaan boleh menyokong banyak parti politik dan ahli politik sama ada daripada BN atau Pakatan Harapan.
"Tidak perlu berlebihan sehingga bersikap tidak sopan dalam perkara ini," kata Ti dalam satu kenyataan.
Ti merujuk kenyataan Nazri sebelum ini terhadap Kuok.
Ti menggesa rakan sejawatnya di BN kekal bertenang dan tidak melampaui batas.
Nama Kuok diheret ke dalam politik susulan artikel oleh raja Petra yang menuduh ahli perniagaan itu mendanai DAP dan The Malaysian Insight.
Selain Nazri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut merespons isu ini dengan mendakwa Kuok sebagai tidak kenang budi.

Subscribe to receive free email updates: