"Nak tahu saya masih berbisa atau tidak, tunggulah saya punya penumbuk saya ini," demikian kiasan Tan Sri Muhammad Muhd Taib tatkala ditanya kemampuan beliau untuk menjadi pencatur BN Selangor bagi menawan semula Selangor.
Menurut bekas Menteri Selangor itu, beliau ada cara tersendiri untuk membantu BN Selangor dalam PRU14 nanti."Dan yang paling penting adalah kita mesti berubah, kerana kalau kita lihat kes seperti Nokia, ia tidak berubah lama-lama ia ditinggalkan, begitulah kiasannya," katanya kepada Sinar Harian dalam Program Live FB Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menzahirkan keyakinan bahawa penyertaan semula Muhammad dalam Umno bakal memberi kekuatan untuk parti menawan kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan pada PRU14 akan datang.
Sementara itu ketika menjawab pertanyaan sama ada beliau akan bertanding pada PRU14 nanti, Muhammad berkata, 'tengoklah macam mana'.
"Saya suka berkhidmat macam sekarang, lebih selesa, bebas beri pandangan...selain itu saya serah kepada ALLAH," katanya.