Update PRU14: Mahathir yakin pengundi Melayu tolak sogokan Najib >> Berita Malay 18

Sudah menjadi trend BN dalam program mega di beberapa negeri mutakhir ini menawarkan cabutan bertuah lumayan termasuk apartmen, satu lot tanah perumahan, lot tanah pertanian, kereta dan kenderaan pacuan empat roda.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, rata-rata pengundi Melayu celik untuk memahami pemberian itu sebagai sogokan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.
“Rakyat akan disogok dengan banyak wang. Najib berpendapat orang Melayu mudah dipengaruhi dengan wang. Orang Cina susah sedikit.
“Sebab itu, sekarang ini mereka mengasingkan orang Melayu supaya tidak bercampur dengan orang Cina. Sempadan pilihan raya sudah ditukar supaya orang Melayu diasingkan daripada orang Cina,” ujarnya.
Berucap pada Majlis Jelajah Harapan Melaka 2018 di Alor Gajah, pada Ahad, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan itu berkata, tanggapan Najib bahawa pengundi Melayu boleh termakan dengan rasuah adalah salah.
“Walaupun dia guna wang yang banyak, tetapi orang Melayu tidak boleh diperalatkan kononnya mereka lebih mudah disogok dengan wang.
“Orang Melayu bukan seperti anggapan Datuk Seri Najib. Orang Melayu sedar Najib cuba membeli undi mereka.
“Saya yakin walaupun Najib hari ini beri macam-macam, seperti di Langkawi beri lima buah motosikal dalam cabutan nombor bertuah, saya harap dan yakin orang Melayu akan tolak sogokan wang atau barangan daripada Najib,” tegasnya.
Walau bagaimanapun, Mahathir berpendapat pengundi tidak harus mengundi BN sekiranya terpaksa menerima pemberian Najib itu.
“Sebab itu, saya merayu pada semua yang hadir dan pengundi-pengundi di seluruh negara supaya menolak rasuah daripada Datuk Seri Najib.
“Walaupun mereka miskin dan terpaksa terima wang sogokan daripada anajib, terimalah tetapi jangan mengundi Barisan Nasional,” ujarnya.
Sehubungan itu, tokoh negarawan berusia 92 tahun berkenaan berharap PRU-14 menjadi pilihan raya yang bersih dengan tanpa penyelewengan dan penipuan daripada mana-mana pihak.
“Saya yakin kalau pilihan raya bersih, Pakatan Harapan akan dapat kemenangan,” tambahnya lagi dalam program yang menyaksikan lautan hadirin di Taman Sungai Petai Permai 2 itu.

Subscribe to receive free email updates: