Sudah 6 kali Barisan Nasional cuba merampas kembali Pasir Puteh sejak dikalahkan oleh Semangat 46 pada 1990.
Dengan jumlah penduduk melebihi 100,000 orang, ia sudah tentu menjadi kawasan yang mengukur kekuatan parti politik di Kelantan.
Sejak 1999, ia menjadi milik PAS, selepas 2 penggal menjadi milik Semangat 46, parti serpihan yang ditubuhkan pada 1989 oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada pilihan raya lalu, PAS melalui Nik Mazian Nik Mohamad menang dengan majoriti 1,888 undi, angka yang dianggap bukan selesa, lebih-lebih lagi dengan kemunculan sebuah lagi parti serpihan Umno, PPBM.
Dengan politik Kelantan yang dipengaruhi slogan Islam, tidak mengejutkan sekiranya Umno turut meletakkan calon “orang agama” di sini, dan orang itu hampir pasti ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebagai tindak balas PAS, parti itu disebut-sebut bakal meletakkan Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, yang merupakan setiausaha Majlis Syura Ulama, badan tertinggi parti yang dianggotai agamawan PAS.
Sementara PPBM dikatakan akan mencalonkan Ketua Penerangan, Datuk Kamarudin Md Nor.
Bagi Nik Mazian, pertandingan 3 penjuru tidak melunturkan peluang PAS untuk kekal di Pasir Puteh.
“Kedudukan kita di sini macam biasa, tidak ada banyak perubahan walaupun adanya Pakatan Harapan,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, kemunculan PPBM tidak memberikan kesan besar, memandangkan persaingan utama adalah antara PAS dan Umno.
Nik Mazian berkata peluang PAS “50-50”, disebabkan kedua-dua PAS dan Umno kini mengalami perpecahan, iaitu Amanah dan PPBM.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada Nik Zawawi akan mengambil tempatnya di Pasir Puteh.
“Dia antara calon yang layak dan menepati citarasa pengundi,” katanya, sambil menambah pengundi masih memilih berdasarkan parti dan bukan calon.
Bagi beliau, apa yang penting ialah calon mesti mempunyai “latar belakang agama” yang kuat.
“Kalau letak yang tidak ada (latar belakang) agama, awal-awal lagi akan kalah,” katanya.
Nik Mazian memutuskan tidak bertanding pada pilihan raya kali ini, selepas 4 penggal bergelar wakil rakyat.
“Saya ingin memberi laluan kepada calon lain,” katanya, sambil menambah beliau tetap setia kepada PAS.
Sementara itu, Umno yakin akan memenangi semua empat kerusi negeri di bawah Pasir Puteh, dengan pencalonan Asyraf Wajdi.
“Kita telah isytihar beliau sebagai calon kita, dan kita sebulat suara mahukan beliau,” kata Bendahari Umno Pasir Puteh, Zulkifle Ali.
Read More / Baca Lagi >>