Update Seratus polis bakal kawal majlis Dr M di Pekan >> Berita Malay 18


Pihak polis bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berhubung lawatan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad ke kawasan parlimen Pekan yang dijadualkan berlangsung esok, kata ketua polis daerah Pekan, Amran Sidek.
"PDRM bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," beliau memberitahu Malaysiakini.
Beliau menambah kira-kira seratus anggota akan memantau keadaan.
Beliau juga mengesahkan notis telah dihantar oleh penganjur program memberitahu pihak polis mengenai program tersebut.
"Pihak penganjur juga telah dipanggil untuk temubual dan 13 syarat diberi untuk dipatuhi," kata Amran memetik Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman.
Penganjur dapat permit polis
Setiausaha HARAPAN Pahang Kamarzaman Mohamed Yunus memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mendapat permit polis untuk menganjurkan majlis berkenaan.
"Kami baru dapat permit. Saya baru pulang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan," katanya.
Ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pekan Abdul Rahim Yahya memberitahu Malaysiakini program itu lebih baik dibatalkan kerana 'akan ada pergaduhan.'
Rahim berkata ramai pemuda di kawasan itu telah memberitahunya mengenai lawatan Mahathir dan mereka merancang melakukan "banyak perkara".
Mahathir dijangka tiba di kawasan Chini tengahari sebelum melawat kawasan penempatan Orang Asli. Beliau juga dijadualkan akan berceramah di suatu majlis di Chini.

Subscribe to receive free email updates: