Kebiasaannya, sesi Dewan Negara bermula selepas sidang Dewan Rakyat berakhir.
Satu pekeliling yang dikeluarkan Parlimen menyatakan sidang Dewan Negara selama 8 hari akan bermula 26 Mac ini dan berakhir 5 April nanti.
Mengikut tradisi, sesi Dewan Negara hanya bermula selepas berakhirnya sidang Dewan Rakyat.
Hari ini, Putrajaya membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat bagi membolehkan tambahan RM7.122 bilion dimasukkan dalam bajet persekutuan 2017.
Rang undang-undang yang dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat memerlukan kelulusan Dewan Negara sebelum digubal.
Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan di Dewan Rakyat dan tidak perlu dibawa ke Dewan Negara.
Zahid yang juga menteri dalam negeri, berkata usul yang akan dibentangkan ketua majlis Parlimen itu hanya memerlukan majoriti mudah, iaitu 111 daripada 220 ahli Parlimen.
“Sebaik sahaja usul itu diluluskan di Dewan Rakyat dan mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan, ia akan menjadi usul dan tidak perlu dibawa ke Dewan Negara,” kata Zahid.
Mandat Barisan Nasional akan tamat 24 Jun ini dan Parlimen akan terbubar secara automatik, serta pilihan raya umum ke-14 (PRU14) perlu diadakan dalam 60 hari, jika tidak diadakan lebih awal.