
Husam bersama pimpinan PH Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa selepas penyerahan PDM Pasir Tok Kambing semalam.
“Parti-parti yang tidak menyertai dua gabungan ini bolehlah dianggap sebagai pengacau sahaja,” kata Naib Presiden AMANAH, Husam Musa di majlis pemantapan jentera PH Dun Panchor petang semalam.
Pertembungan di peringkat nasional katanya, jelas terbahagi dua dan semakin ramai pemerhati menganggap PH semakin berada di hadapan.
Di Kelantan katanya, Pas tidak akan mampu mendapat sokongan lebih 30% undi.
Situasi ini menyebabkan persaingan sebenar hanyalah antara BN dan PH.
“Jika PH bermula dengan 30% sokongan, kita hanya perlukan 5 hingga 6% untuk mendapat mandat mentadbir negeri.
“Dengan situasi tekanan yang dihadapi rakyat sekarang, keperluan ini tidak sukar dipenuhi,” katanya.
Blok politik pro Najib kata beliau, kini amat tertekan kerana semua isu-isu tidak menyebelahi mereka.
“Kini mereka beralih kepada isu umur Dr Mahathir yang dikatakan tua dan tidak layak menjadi perdana menteri.
“Malam tadi di Ipoh, Tun Mahathir sudah memberi jawapan bahawa usia tua bukan satu kekurangan asalkan dapat melaksanakan keperluan-keperluan yang dikehendaki rakyat.
“Tidak mengapa tua asal boleh hapuskan GST, mengekalkan BRIM, membebaskan bekas pelajar daripada membayar PTPTN hingga gaji mereka mencapai RM4,000 dan banyak lagi yang akan dilaksanakan jika beliau jadi PM,” katanya.
Beliau turut menyentuh kenyataan Adun Panchor Datuk Mohamad Amar Abdullah yang berkata beliau tiada masalah untuk bertanding di kerusi parlimen .
“Ini jelas Pas ada berbincang untuk menukarkan beliau dari Dun Panchor ke kerusi parlimen.
“Saya sudah sebutkan dulu ketika mencadangkan Jeming (Hazmi Hassan) untuk bertanding di sini.
“Beliau memang ada peluang untuk menang,” katanya.
Pada majlis itu satu upacara simbolik penyerahan pusat daerah mengundi Pasir Tok Kambing dari Parlimen Kubang Kerian ke Parlimen Pengkalan Chepa.
Pengerusi PH Kubang Kerian, Datuk Abdul Halim Yusuf membuat penyerahan kepada Pengerusi PH Pengkalan Chepa, Mejar (B) Mohamad Ibrahim disaksikan Husam selaku Pengerusi PH Negeri.