Update KWSP sangkal dakwaan Sarawak Report >> Berita Malay 18

kwsp
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal keras dakwaan portal berita dalam talian, Sarawak Report, dalam catatan blog dan Facebooknya, semalam.

KWSP dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak pernah berurusan, mahupun memeterai sebarang perjanjian dengan Limage Holdings SA, Limage Southwest Holdings, individu yang dikenali sebagai Mr Matrai atau mana-mana pihak seperti dinyatakan Sarawak Report.

“Justeru, tiada sebarang pemindahan bon atau dana seumpamanya kepada mana-mana syarikat, pihak atau individu seperti yang dinyatakan di atas berlaku seperti yang didakwa,” jelas KWSP.

Menurut dana pencen awam itu, satu ‘Surat Ganti Rugi’ palsu bertarikh 20 Ogos 2015, yang dialamatkan kepada Gyorgy Matrai of Limage Holding SA mendakwa, satu perjanjian antara KWSP dan Limage Holdings SA telah dimaklumkan kepada KWSP pada 26 Oktober 2015.

“Oleh sebab ini jelas merupakan dokumen dipalsukan, KWSP membuat laporan polis pada 28 Oktober 2015,” jelas KWSP.
Satu ‘Surat Lantikan’ bertajuk  'Development and Construction of Integrated Medical City Project For EPF' daripada TripleNiceTales Sdn Bhd bertarikh 18 Mei 2015, dimaklumkan kepada KWSP pada 24 Februari 2016.

Berikutan terdapat pihak ketiga menyalahgunakan nama KWSP dan kecurigaan membabitkan penipuan, KWSP berkata, pihaknya membuat laporan polis pada 26 Februari 2016, menyatakan KWSP tidak tahu menahu mahupun terlibat dalam urus niaga seperti dirujuk dalam ‘Surat Lantikan’ itu. 

“Penglibatan Ladylaw Securities Pte Ltd dan Nic Manikis dimaklumkan kepada KWSP pada 20 Januari 2017, dan laporan polis dibuat pada 23 Januari 2017, menyatakan KWSP tidak tahu menahu mahupun terlibat dalam mana-mana urus niaga pelaburan dengan  Ladylaw Securities ataupun Nik Manikis,” menurut kenyataan itu.

KWSP menegaskan sebarang skim seumpama itu tidak akan melepasi rangka kerja tadbir urusnya yang kukuh dan mantap.

“Sebelum mana-mana keputusan pelaburan dibuat, proses tadbir urus kami memerlukan semua cadangan yang tertakluk kepada penilaian risiko ketat dan kajian terperinci oleh pengurusan.
“Semua kelulusan perlu melalui jawatankuasa pelaburan pengurusan bagi mendapatkan sokongan sebelum dikemukakan kepada Panel Pelaburan bagi kelulusan akhir,” kata KWSP.

Panel Pelaburan itu dianggotai profesional industri, pegawai kanan pengurusan KWSP, Bank Negara Malaysia dan kerajaan. - Bernama
 

Subscribe to receive free email updates: