Jauh ke selatan, berhampiran Pasir Salak, adalah lokasi pembunuhan pegawai British, James WW Birch, peristiwa besar dalam pemberontakan terhadap penjajah di Tanah Melayu oleh Dato Maharajalela.
Kini, menjelang pilihan raya umum akan datang, Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak percaya pengundi berpeluang "menulis" satu lagi sejarah baru di sepanjang sungai itu.

"Selain Telok Intan (kerusi parlimen), kawasan di sepanjang sungai tidak pernah jatuh kepada pembangkang.
"Sekiranya kami memenangi kerusi-kerusi ini, HARAPAN akan mengambil alih Perak dan seterusnya ke Putrajaya," kata Faizal, 48 dalam temu bual baru-baru ini.
Menurut Faizal, Umno tidak pernah tewas di kerusi Parlimen Grik, Lenggong, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit dan Pasir Salak.
Faktor BERSATU
Untuk menang tujuh parlimen tersebut HARAPAN perlu mendapatkan ayunan (swing) 10 peratus pengundi Melayu, kata Faizal.
Tetapi katanya apa yang membezakan sekarang berbanding pilihan raya sebelumnya adalah faktor BERSATU.
Ini disebabkan parti serpihan Umno itu mempunyai pengalaman dalam gerak kerja Umno.
"Kami berusaha keras ke arah sasaran itu (10 peratus), kami bercampur dengan pengundi setiap hari, kami anjur "ceramah kelompok "(kira-kira 40 orang), dan bertemu dengan pengundi dari rumah ke rumah," katanya.
Setakat ini, katanya sambutan terhadap BERSATU amat menggalakkan apabila ramai ahli Umno menyatakan kekecewaan mereka terhadap parti pemerintah walaupun tidak secara terang-terangan.
"Ramai yang menyertai BERSATU, ada yang pegawai kerajaan atau suri rumah yang suami bekerja di agensi kerajaan atau mereka mempunyai kontrak dengan kerajaan. Ramai dari mereka tidak boleh dedahkan diri mereka.
"Terdapat pemimpin akar umbi Umno yang ingin menunjukkan sokongan mereka secara terang-terangan, tapi tidak boleh, mereka berjanji untuk mengundi pembangkang juga," kata Faizal yang juga bekas ahli Umno.