KUALA LUMPUR: Penentuan tempoh berkempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk musim perayaan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata selain mesti memenuhi peraturan 11 hari tempoh minimum berkempen ditetapkan, SPR tidak boleh menetapkan tempoh berkempen mengikut kehendak mana-mana parti politik yang akan bertanding.
“Dari segi tempoh, bergantung kepada kuasa SPR. Bagi SPR, kita perlu lihat banyak aspek. Perlu lihat kalendar, PRU jatuh pada bulan apa… adakah bulan puasa atau hari raya? Ini semua kita perlu ambil kira.
“Kalau tanya saya, saya setuju sahaja, (tempoh kempen) panjang tidak apa, pendek pun tidak apa tetapi kita mengharapkan ada etika dalam berkempen,” katanya pada sesi soal jawab dalam Taklimat Media dan Pilihan Raya di Wisma Bernama hari ini.
Mohd Hashim berkata demikian ketika menjawab soalan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh mengenai permintaan sesetengah parti politik yang mahu tempoh kempen lebih panjang pada PRU14.