Update [ROMPIN] DUA KUMPULAN PELAJAR DITAHAN BERGADUH >> Berita Malay 18


Dua kumpulan pelajar ditahan bergaduh



Akibat memanggil dengan bahasa yang disifatkan kasar, mencetuskan pergaduhan melibatkan dua kumpulan penuntut senior dan junior di sebuah institusi pengajian tinggi di Muadzam Shah.

Pergaduhan melibatkan kumpulan penuntut semester 5 dan 3 berusia sekitar 20-an.

Akibat kejadian itu, dua daripadanya mengalami kecederaan kerana dipukul dengan menggunakan kerusi, kayu serta besi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor, berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 23 Februari lalu sekitar jam 11.30 malam.

Bagaimanapun, menurutnya, pengadu tampil membuat laporan di Balai Polis Muadzam Shah pada 27 Februari sebelum siasatan dilakukan.

"Pengadu bersama tujuh kawannya telah pergi ke bilik seorang penuntut senior dengan tujuan berbincang tentang perselisihan faham dan tidak puas hati akibat dipanggil secara kasar semasa di tapak jualan pada 20 Februari lalu.

"Pengadu bersama tujuh kawannya telah masuk ke dalam bilik tersebut dan kemudiannya penuntut senior itu telah mengunci pintu bilik berkenaan sebelum dia bersama dua lagi kawannya bertindak memukul pengadu dengan menggunakan kerusi plastik, kayu serta sebatang besi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Azli berkata, tindakan itu mengakibatkan pengadu mengalami kecederaan pada bahagian tangan sebelah kanan, kepala, cedera di bahagian belakang serta di kaki bahagian kiri.

Katanya, seorang kawan pengadu yang berada di dalam bilik itu turut mengalami kecederaan di bahagian hidung akibat ditumbuk pelajar senior itu kerana mahu menghalang daripada terus memukul pengadu.

"Kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada petang semalam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 147 Kanun Keseksaan.


Subscribe to receive free email updates: