Kalau diperhatikan, baik kritikan oleh Rafidah Aziz mahupun Rais Yatim yang menjadi perhatian media kebelakangan ini, sasaran mereka ialah Jho Low, bukannya Najib Razak mahu pun 1MDB.
Rafidah misalnya mempertikaikan bagaimana pihak berkuasa negara ini gagal mengesan kapal mewah Equanimity, milik "bilionaire segera" itu, berbanding polis Indonesia yang baru-baru ini berjaya mengesan dan merampasnya dengan kerjasama FBI Amerika.
Lebih daripada itu, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, beliau sendiri pernah terjumpa dengan kapal mewah itu ketika menyertai aktiviti menyelam di perairan Phuket tahun lalu dan sempat mengambil gambar serta videonya.
Rais Yatim pula, berikutan pembelaan terlalu pantas oleh Salleh Said Keruak yang mengatakan tiada bukti kapal mewah itu milik Jho Low, sedangkan pejabat Jho Low sendiri mengeluarkan kenyataan mengecam penyitaan kapalnya dengan menyifatkan ia berunsur politik, penuh kelemahan serta tidak disokong bukti, beliau sebaliknya mahukan agar pihak berkuasa menjalankan kerja dan melakukan penyiasatan.
Rais yang merupakan penasihat sosio budaya bertaraf menteri dan Presiden UIA turut mengingatkan bahawa Jho Low sudah diburu oleh lapan negara lain berkaitan penyelewengan 1MDB.
Tetapi, mengapakah Rafidah dan Rais diserang balik dengan keras oleh pembela-pembela Najib sehingga kisah-kisah lamanya diungkit dan diminta meletakkan jawatan?
Sejak kritikannya itu, Rafidah diserang oleh penulis upahan yang bertaraf pelarian dengan menyebarkan pelbagai berita palsu sewaktu beliau menjadi menteri dahulu serta kedudukannya sekarang sebagai Pengerusi Air Asia X, manakala Rais diminta meletakkan jawatannya oleh cabang propaganda kerajaan yang hanya bekerja untuk kepentingan UMNO semata-mata.
Meskipun Rafidah dan Rais sudah memberi respon balas terhadap serangan yang ditujukan kepada mereka, yang nyatanya Jho Low seolah-olah individu penting dalam negara ini.
Read More / Baca Lagi >>