Update Skandal 1MDB: 5 anak kapal tiada atas kapal Jho Low >> Berita Malay 18

Lima daripada 34 orang yang didaftarkan sebagai anak kapal didapati tidak berada atas kapal layar mewah milik ahli perniagaan Low Taek Jho, individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Pengarah Ekonomi dan Jenayah Khas Indonesia Agung Setya berkata jumlah anak kapal yang ditemui itu hanya 29 orang sahaja, lapor Detiknews.
“Yang ada dalam senarai (kru dan dokumen perjalanan) ada 34 anak kapal dan ditemui 29 orang,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Agung juga tidak menolak kemungkinan lima orang anak kapal itu sedang bercuti dari tugas.
Namun katanya pemeriksaan lanjut terhadap 29 anak kapal yang lain akan mengesahkan status lima individu itu.
"Jadi kru itu ada satu sistem (jadual). Kami sudah dapatkan senarai itu. Kandungan (jadual itu) kru tersebut bekerja secara gantian.

“Ada yang cuti atau off. Yang ada dalam senarai itu 34 orang dan kita jumpa 29 orang, dan lima orang lagi sedang off,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Menurut Agung lagi, anak kapal tersebut adalah warganegara asing yang datangnya dari Australia, Afrika Selatan, New Zealand , Thailand, Filipina, Kanada, Malaysia, India, England dan Nepal.
Kapal layar itu sebelum ini ditahan penguatkuasa Indonesia dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).
Kapal layar itu juga menjadi buruan pihak berkuasa AS sejak 2015 dan disyaki bersembunyi di Indonesia.
Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mahu merampas kapal itu sebagai sebahagian daripada pelucuthakan aset yang didakwa diperoleh menggunakan dana yang disalah guna daripada 1MDB.
Kapal yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dilaporkan telah dibina khas untuk ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pada tahun 2014 pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion).
Jho Low melalui jurucakapnya semalam menyifatkan DOJ bertindak keterlaluan kerana meneruskan pelucuthakan aset dan berkata dakwaan yang dibuat badan itu lemah dan bermotif politik.

Subscribe to receive free email updates: