Peguam Rando Purba memberitahu Malaysiakini bahawa pelanggannya, Rolf Sieboldt-Berry, seorang warga Afrika Selatan, mendedahkan perkara itu kepada polis Indonesia ketika disoalsiasat pada hari Isnin.
“Pemahaman saya ialah pelanggan saya hanya mematikan sistem itu satu kali – apabila kapal layar itu meninggalkan Colombo menuju ke Phuket.”
Equanimity dilihat di Colombo tahun lepas dan kemudiannya dilihat di Phuket.
Purba juga mengesahkan laporan bahawa Sieboldt-Berry disoalsiasat atas dakwaan dia telah sengaja mematikan AIS untuk mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa dari Biro Penyiasatan Federal Amerika Syarikat.
Jurucakap polis Indonesia M Iqbal berkata semalam bahawa Rolf telah mematikan AIS “beberapa kali” menjadikan kapal itu tidak dapat dikesan ketika berada di perairan Filipina dan menuju ke tenggara Singapura.
“Pada masa itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah mengeluarkan waran rampasan,” Iqbal dipetik sebagai berkata.
The Equanimity dilaporkan pertama kali dilihat di perairan Indonesia pada November lalu, melalui pulau peranginan Raja Ampat di East Nusa Tenggara, sebelum berlayar ke barat menuju Lombok dan Bali, di mana ia dirampas pada pada hari Isnin.
Kapal itu dicari oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ).
DOJ, dalam saman pelucuthakan aset, mendakwa kapal layar itu dibina dengan anggaran kos AS$250 juta (RM1 bilion) menggunakan wang yang didakwa diseleweng dari 1MDB.
Kapal layar mewah sepanjang 91.5m itu mempunyai spa, salon kecantikan, gimnasium, sauna dan kolam renang yang besar, serta tampat pendaratan helikopter.