Update Skandal 1MDB: Kapten Equanimity kata tak tahu siapa pemiliknya >> Berita Malay 18

Kapten kapal layar mewah, Equanimity, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Jho Low, memberitahu penyiasat di Indonesia bahawa dia tidak tahu siapa pemiliknya.
Peguam Rando Purba memberitahu Malaysiakini bahawa pelanggannya, Rolf Sieboldt-Berry, seorang warga Afrika Selatan, disoalsiasat selama enam jam di balai polis daerah Bali pada hari Isnin sebagai saksi.
"Bagi kapten itu, apa yang dia tahu adalah kapal layar itu dimiliki oleh sebuah syarikat yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
"Dia tidak tahu individu di belakang syarikat itu kerana dia tidak melihat dokumen (pendaftaran)," kata Purba ketika dihubungi.
Purba berkata Sieboldt-Berry disoalsiasat selepas kapal layar itu dirampas di Benoa, Bali pada hari Isnin dan disoalsiasat oleh polis mengenai identiti pemilik kapal itu.
"Khususnya, dia (Sieboldt-Berry) ditanya sama ada dia tahu pengarah syarikat yang memiliki kapal layar itu," katanya.
Purba berkata pelanggannya telah bekerja di kapal layar itu selama tiga tahun, dari Mac 2015, dan telah dilantik kapten sementara sejak April lepas.
Ditanya sama ada sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan Jho Low diajukan kepada pelanggannya, Purba berkata, nama hartawan kontroversial itu tidak timbul semasa sesi soalsiasat selam enam jam itu.
"Saya hanya tahu nama (Jho Low) dari laporan media," katanya.
Pihak berkuasa Indonesia telah merampas Equanimity atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS yang menyiasat kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
Sementara itu, Purba juga mendedahkan bahawa pelanggannya masih berada di atas kapal layar itu sementara menunggu arahan lanjut dari pihak polis.
"Polis telah mencadangkan pelanggan saya untuk tidak meninggalkan kapal ... Dia sebenarnya boleh meninggalkan negara itu tetapi dia ikut cadangan polis," kata Purba.
Jurucakap polis tengah Indonesia, M Iqbal, semalam memberitahu Malaysiakini bahawa siasatan mereka masih di peringkat awal untuk mendapatkan bukti dari kapal dan menyoalsiasat kapten serta anak kapalnya.

Subscribe to receive free email updates: