Update Skandal 1MDB: Tutup 1MDB keputusan perniagaan, sembang ketua penerangan Umno >> Berita Malay 18

KEPUTUSAN untuk menutup syarikat pelaburan negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebaik saja hutangnya dilangsaikan adalah berdasarkan kepada keputusan perniagaan, kata Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.
Beliau berkata ia hanyalah keputusan perniagaan, memandangkan reputasi 1MDB yang sudah pun terjejas.
"Mengenai 1MDB ditutup atau tidak, lembaga pengarah perlu buat keputusan.
"Kita perlu ingat bahawa nama 1MDB sudah terjejas. Ia ditubuhkan dengan niat yang baik tetapi akibat fitnah, reputasinya tercemar.
"Sukar untuk syarikat itu berniaga," katanya kepada wartawan selepas dialog "Perjuangan untuk semua" anjuran Umno di Pinang Tunggal, Kepala Batas, malam tadi.
Terdahulu, dilaporkan awal minggu ini bahawa 1MDB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Najib Razak akan ditutup sebaik saja semua hutangnya selesai dibayar.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar dilaporkan berkata hutang itu akan dibayar menerusi pendapatan daripada projek mega kerajaan seperti pembangunan bangunan Tun Razak Exchange (TRX), Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek MRT kedua.
Pembubaran 1MDB akan menutup babak dalam sejarah korporat negara yang penuh dengan tuduhan salah guna dana, mencetuskan siasatan antarabangsa dan perbelanjaan mewah di luar negara.
Annuar berkata apa yang paling penting ialah kerajaan melakukan yang terbaik untuk negara ini dan rakyatnya, dengan memperbetulkan model perniagaan.
Katanya, 1MDB sudah melalui pelan rasionalisasi dan menyelesaikan AS$1.2 bilion hutangnya dengan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC) tahun lalu.

Subscribe to receive free email updates: