Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) berkata, ucapan Mohamad dalam satu program BN bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang tersebar dalam sebuah video baru-baru amat serius dan merupakan satu hasutan untuk menggunakan kekerasan.
“Bila melihat perkembangan politik negara kita ini. Saya melihat ini sesuatu yang bertentangan dengan hasrat TN50.
“Ini menunjukkanTN50 ini tidak lebih daripada pembohongan kepada masyarakat dan rakyat.
“Dan ini satu perbuatan menghasut rakyat melanggar undang-undang dan sepatutnya polis menyiasat dan menghalang Umno dan BN,” kata Mahfuz di Dewan Rakyat hari ini.
Mahfuz berkata tiada sesiapa yang menolak hasrat untuk Malaysia membentuk satu budaya berintegriti dan juga membentuk budaya bernilai tinggi dalam program TN50.
“Tetapi akhir-akhir dalam sehari dua ini saya melihat semacam berlaku satu pertentangan tentang dengan hasrat TN50 ini.
“Contohnya, apa yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Yang disertai oleh menteri belia dan sukan dalam menghadiri anak-anak muda Umno-BN supaya terbalikkan meja di warung dan kedai kopi,” katanya.
Kenyataan Mahfuz itu menyebabkan beberapa ahli Parlimen BN bangkit dan mengejek beliau kerana berpindah parti dari PAS ke Amanah baru-baru ini.
Bung Mokhtar Radin (BN-Kalabakan) berkata Mahfuz merupakan ahli Parlimen yang suka “lompat-lompat”.
“Fikiran beliau bercelaru sampai tak tahu apa beliau cakap.
“Otaknya bercelaru Yang Dipertua sebab beliau tiga kali lompat-lompat. Tak ada soalan pun,” katanya.
Semalam akhbar The Sun melaporkan Mohamad sebagai berkata, ucapannya semasa Majlis Pelancaran Briged Gempur Pemuda Umno Rembau dalam satu video yang viral baru-baru ini diambil tidak mengikut konteks dan hanya untuk menaikkan semangat anak-anak muda.
"Ucapan itu hanyalah untuk menaikkan semangat dalam kalangan anak-anak muda. Bukanlah saya mahu mereka benar-benar melakukan tindakan tersebut," katanya.