Menambah sebanyak mungkin wang ke dalam poket pengguna dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya jika ia berkuasa selepas selepas pilihan raya umum ke-14, dijangka merupakan salah satu perkara yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bakal diumumkan esok.
Menurut kilasan manifesto yang dikongsi bersama dengan Malaysiakini, tujuh daripada 10 matlamat 100 hari HARAPAN adalah untuk meningkatkan simpanan dan pendapatan boleh guna rakyat.
Ini akan dilakukan dengan melupuskan hutang sedia ada kumpulan sasaran atau melambatkan pembayaran balik, serta memperkenalkan subsidi.

Sasaran lain ialah para graduan, terutamanya berkaitan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasionall (PTPTN).
HARAPAN berkemungkinan menangguhkan bayaran pinjaman PTPTN bagi semua graduan yang berpendapatan kurang dari RM4,000 sebulan, dan menghapus amalan menyenaraihitam pemimjan.
Mengenai subsidi, HARAPAN dijangka mengambalikan semula subsidi petrol, tetapi dengan cara yang disasarkan.
Laksanakan skim S'gor di peringkat nasional
Selain itu, gabungan parti pembangkang juga akan cuba meniru "Skim Peduli Sihat" kerajaan Selangor untuk dilaksanakan di peringkat nasional.
Skim ini menyediakan RM500 setahun kepada kumpulan B40 untuk mendapatkan rawatan perubatan asas di klinik swasta berdaftar.

Cadangan lain seperti yang telah diketahui ialah pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), serta peningkatan gaji minimum, yang kini berjumlah RM1,000 bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak.
Dalam bajet alternatifnya, HARAPAN menyatakan bahawa menggantikan GST dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mungkin menyaksikan kekurangan pendapatan sebanyak RM25.5 bilion setahun.
Bagaimanapun, ia menegaskan bahawa angka itu boleh diimbangi melalui hasil cukai yang lebih besar, daripada pertumbuhan dalam pelbagai sektor yang didorong oleh pendapatan boleh guna yang lebih tinggi ekoran pemansuhan GST.
Kekurangan itu juga akan diimbangi oleh disiplin fiskal yang lebih ketat untuk membendung kebocoran dan rasuah.
Bagaimanapun, bajet alternatif itu tidak mengukur kos dasar utama lain, seperti pengenalan semula pelbagai bentuk subsidi dan pemansuhan tol.

Pada tahun 2013, selepas Pakatan Rakyat mengeluarkan manifesto, BN terpaksa membalasnya dengan janji-janji yang serupa, seperti penghapusan tol tertentu dan pengurangan harga kereta.
Pengumuman manifesto Harapan esok akan dihadiri oleh pemimpin tertinggi gabungan itu, termasuk pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.