Wong Chin Huat berkata, ramai pemerhati, termasuk bukan Melayu akan menafsirkan perintah JJPM sebagai manifestasi ketakutan BN akibat sokongan besar orang Melayu kepada PPBM.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) mungkin kehilangan undi Melayu akibat perintah pembubaran sementara PPBM oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata, orang Melayu mungkin melihat perintah itu datang secara tidak langsung daripada kepimpinan BN dan merumuskan Umno takut kepada PPBM.
“Dalam politik orang Melayu, ‘sifat macho’ dipandang tinggi.
“Orang Melayu mengagumi keberanian dan sangat benci kepada perbuatan pengecut,” katanya kepada FMT.
Dalam notis yang dihantar kepada PPBM Khamis lepas, JPPM berkata, ia menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Akta Pertubuhan untuk mengeluarkan perintah pembubaran sementara kepada parti itu.
Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim berkata pembubaran sementara itu disebabkan kegagalan PPBM menyerahkan semua maklumat dan dokumen yang diminta pada 28 Februari lalu, iaitu penyata kewangan, minit mesyuarat perhimpuan agung tahunan parti itu, cawangan dan bahagian.
PPBM yang ditubuhkan pada 2016, selepas perselisihan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diberi sebulan untuk menyerahkan dokumen dikehendaki, atau pendaftarannya dibatalkan secara mutlak.
PPBM dilarang menggunakan nama dan simbol parti atau menjalankan apa-apa aktiviti parti sepanjang tempoh itu.
Wong berkata, ramai pemerhati, termasuk bukan Melayu akan menafsirkan perintah itu sebagai manifestasi ketakutan BN akibat sokongan besar orang Melayu kepada PPBM yang diketuai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Bagaimanapun, pembatalan pendaftaran PPBM boleh membawa kesan sebaliknya dan meningkatkan tsunami Melayu,” katanya.
Parti komponen PH sepakat menggunakan logo PKR bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang dan Wong berkata, ini boleh menambah sokongan pengundi kepada gabungan pembangkang itu kerana ia akan mengingatkan rakyat kepada masa sebelum gerakan Reformasi, ketika Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disanjung sebagai gandingan mantap.
“Kali terakhir Dr Mahathir dan Anwar memimpin sebuah pakatan politik ialah pada pilihan raya umum 1995, dan pakatan mereka disokong orang Melayu dan bukan Melayu. Mereka memenangi 65% undi.
“Apakah pembubaran PPBM akan mengulangi gandingan Mahathir-Anwar pada 1995? Besar kemungkinannya, dengan syarat peratus keluar mengundi mencapai 85%.”
Bagaimanapun katanya, PH akan rugi sekiranya kerajaan memutuskan PRU14 pada hari bekerja dan memilih jarak minimum 18 hari dari tarikh pembubaran Parlimen hingga hari membuang undi.