Calon BN bagi kerusi Dun Pulau Manis, Dato' Khairuddin Mahmud akan memberi perhatian terhadap masalah tuntutan permohonan tanah dan penyelesaian hak milik tanah pertanian bagi PRU14 ini.
Menurutnya, pengurusan bagi mendapatkan kelulusan akan dilakukan secepat mungkin mengikut prosedur ditetapkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan dan Pekan.
Jelasnya, terdapat 30 pemohon tanah di kawasan perkampungan Jaya Gading yang masih menunggu geran bagi mendapatkan tanah diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.
"Berkaitan isu permohonan di Jaya Gading ini, kita berdepan masalah sikit kerana ada kawasan membabitkan bidang kuasa dua Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan dan dan sebahagiannya Pekan.
"Perkara itu dah dimaklumkan kepada pihak berkenaan dan kita berharap dapat diberikan perhatian oleh kerajaan negeri serta pihak bertanggungjawab.
"Kalau boleh, kita selesaikan segera kerana ada yang sudah 20 tahun menunggu dan terdapat antara mereka merupakan individu yang membuka kawasan tanah terbabit untuk dijadikan tapak kediaman dan bercucuk tanam," katanya.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, terdapat juga sebagaian tanah yang tidak diusahakan dan perlu diselesaikan dengan segera.
Katanya, tanah terbiar dan tidak diusahakan untuk sebarang aktiviti pertanian atau penternakan juga perlu digunakan serta diusahakan sebaiknya.
''Sudah pasti perkara kni sangat merugikan kerana kita masih ada kawasan untuk melakukan pelbagai aktiviti yang boleh memberi manfaat terutamanya penduduk sekitar.
"Sebagai contohh di kawasan Pulau Rusa dan Kampung Teluk, terdapat 741 ekar tanah pertanian yang terbiar. Kampung Tebat pula 494 ekar, Kampung Bukit Kenau dan Rambai Sebunga lebkoh kurang 197 ekar.
"Ternyata ia sangat merugikan jika kita tidak ambil inisiatif bangunkan kawasan terbabit dengan sebarang aktiviti bagi menjana pendapatan penduduk setempat," katanya.
Sementara itu, katanya lagi, berkaitan dengan PRU14 ini, BN dilihat berdepan dengan cabaran untuk meningkatkan jumlah majoriti memandangkan trend pengundian kini banyak dipengaruhi isu nasional.
"Bagi kerusi Dun Pulau Manis, kita letak sasaran majoriti kira-kira 7,000 undi berbanding 5,596 sebelum ini. Sasaran majoriti bagi kerusi Parlimen Pekan adalah 40,000 undi berbanding 35,613 undi pada pilihan raya umum lalu.
"Gerak kerja sudah diatur dengan baik dan sebenarnya kita sudah mula turun padang sejak tahun 2013 lagi, bukannya bermusim," katanya.