Hebat calon Wakil Rakyat Langkawi dari Pakatan Harapan. Hendak balik hantar borang pencalonan pun naik jet peribadi. Agak-agak esok selepas menang, adakah beliau masih mahu melihat wajah pengundi-pengundi di sana?
Tun Dr Mahathir sekarang berumur 93 tahun, tinggal di Kuala Lumpur, hendak jadi Wakil Rakyat Langkawi hanya untuk jatuhkan Kerajaan Barisan Nasional dan DS Najib Tun Razak sahaja.
Dua tiga hari lepas, Tun Dr Mahathir berkata ada cubaan untuk menghalangnya daripada menghadiri penamaan calon. Kemudian ada lagi cerita kononnya ada calon akan disabotaj dan sebagainya. Ini semua cerita rekaan dan tidak betul.
Hari ini, drama Kerala paling kelakar sekali bermula. Tun Dr Mahathir yang selalu naik jet peribadi terbang ke sana sini, telah membuat tuduhan kononnya jet peribadinya itu rosak kerana disabotaj oleh pihak lain. Ini cerita karut.
Namun itulah skrip drama simpati yang sedang Tun Dr Mahathir lakonkan sekarang. Tun Dr Mahathir di hadapan pengundi Cina dan India di Hotel De Baron, Langkawi pada jam 5.00 petang, 27/04/2018 berkata
Saya sepatutnya sampai awal di Langkawi, sebelum solat Jumaat tapi ada kapal terbang yang saya naik rosak, nasib baik juruterbang dapat kesan awal jika tidak mungkin saya meninggal dunia akibat nahas.
Kemudian saya cuba minta pinjam pesawat kawan-kawan namun mereka tidak dapat meminjamkan kepada saya kerana telah dihalang pihak tertentu, tapi syukurlah ada seorang rakan yang sudi pinjamkan pesawatnya, dapatlah saya sampai ke Langkawi untuk majlis ini dan penamaan calon esok.
Kali ini benar-benar lawak, tuduhan Tun Dr Mahathir ini sudah keterlaluan. Selama ini jet peribadi itu tidak pernah rosak pun, tiba tiba rosak pula sekarang. Masih ingatkah lagi semasa Tun Dr Mahathir pergi ke Sudan, kemudian terbang balik menaiki jet yang sama dan terus pergi demonstrasi Bersih 5. Tidak ada sedikitpun kerosakan pada jet peribadi berkenaan.
Dalam Malaysiakini, 06/04/2018, Tun Dr Mahathir menyatakan "Tunggu saya dibunuh baru polis, tentera nak sedar?", CTS ada membuat posting sebelum ini dengan melihat jauh ke dapan seperti ada sesuatu yang sedang dirancang oleh Tun Dr Mahathir untuk mendapatkan undi simpati.
Sekarang skrip Kerala semakin jelas. Kalau betul Tun Dr Mahathir di pihak yang benar dan terdapat unsur sabotaj terhadap jet peribadinya, beliau seharusnya membuat laporan polis dan bukannya bercerita di hadapan bakal pengundinya untuk mendapatkan simpati.