27/4/18
PRU14 l Ahli pembankan terkemuka Datuk Seri Nazir Razak berkata beliau tidak faham dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak memberi tauliah kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk memanatu pilihan raya umum 9 Mei ini.
Dalam catatan di Instagram yang dimuat naik hari ini, Nazir, yang adalah adik kepada Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau berharap terdapat penjelasan yang baik di sebalik langkah itu.
"Saya tidak faham ini dan harap ada penjelasan baik.
“Mesti ada usaha yang dilakukan untuk 1) menggalak dan membolehkan semua orang mengundi dan 2) memastikan keyakinan rakyat terhadap proses mengundi," tulisnya.
Sehingga jam 12.30 tengah hari, hantaran tersebut mendapat lebih 1,000 like dan lebih 70 komen.
Seperti kebanyakan hantarannya di media sosial yang menyentuh isu-isu semasa, ramai warga maya mencadangkan Nazir supaya secara peribadi menyampaikan mesej berkenaan kepada abangnya.
Nazir merujuk kepada kenyataan Suhakam yang menyatakan bahawa mereka telah gagal dalam usaha untuk menjadi pemantau pilihan raya.
Walaupun Suhakam berkata ia sukar memahami keputusan SPR untuk mengecualikan mereka manakala pemerhati antarabangsa pula diundang semasa proses mengundi itu, namun Suhakam berikrar akan tetap memantau pilihan raya umum ke-14.
Malaysiakini