MAHKAMAH SEHARUSNYA BUAT KEPUTUSAN SEGERA DALAM KES BATU DAN RANTAU, BUKAN SELEPAS 9 MEI
Difahamkan kedua-dua calon PKR, Tian Chua dan Dr. S Stream yang tidak dapat atau lebih tepat dihalang daripada menyertai pilihanraya pada 9 Mei depan akan membawa kes mereka ke mahkamah pada esok, 30 April 2018.
Tian Chua ditolak kertas pencalonan semalam kerana didakwa ada sabitan kes mahkamah yang menghukumnya dengan denda sebanyak RM2000, meskipun pada pilihanraya 2013 beliau dibenarkan bertanding oleh SPR atas kesalahan lain dengan hukuman yang sama.
Atas asas yang nyata meragukan itu kerana syarat gugurnya kedudukan sebagai wakil rakyat atau tidak boleh bertanding ialah apabila seseorang dihukum dengan denda tidak kurang RM2000 atau penjara tidak kurang 1 tahun, SPR sebaliknya bertegas menolak kertas pencalonan Tian Chua.
Dr. S Stream pula dihalang daripada memasuki dewan untuk menyerahkan kertas pencalonan atas alasan tidak memiliki pas masuk yang dikeluarkan SPR, walaupun umum mengetahui perkara itu bukanlah suatu syarat wajib.
Berdasarkan kes duluan yang mana SPR pernah membenarkan Tian Chua bertanding pada 2013 sedangkan ketika itu juga ada sabitan hukuman denda RM2000 melibatkan dirinya serta kedudukannya sebagai Ahli Parlimen yang tidak pernah dilucutkan sepanjang dua kali didenda sebanyak RM2000, secara logiknya beliau mempunyai asas yang kuat untuk memenangi kesnya di mahkamah.
Lebih daripada itu, keputusan mahkamah dalam kes Tian Chua sebelum ini juga jelas menyebut kedudukannya sebagai Ahli Parlimen tidak gugur dengan denda RM2000 tersebut.
Begitu juga dengan Dr. S Stream, selain pas masuk SPR bukanlah suatu perkara wajib, beliau sudah pun berada di luar dewan untuk menyerahkan kertas pencalonan sejak pukul 8.00 pagi lagi beserta borang pencalonan, watikah, wang deposit, pencadang serta penyokong.
Dengan itu, hakikatnya, pasukan keselamatan tiada asas kukuh untuk menafikan haknya daripada menyerahkan kertas pencalonan, seterusnya bertanding dalam pilihanraya kerana ini adalah proses demokrasi yang tidak boleh dinafikan terhadap sesiapa pun jua.
Selain itu, Tian Chua dan Dr. S Stream juga turut membuat laporan polis berhubung apa yang mereka alami itu.
Cuma yang menjadi persoalan, apabila Tian Chua dan Dr. S Stream membawa kes mereka ke mahkamah esok, bilakah hakim akan membenarkan pendengaran dan membuat keputusan?
Berdasarkan kes ini amat penting dan mendesak kerana pengundian akan diadakan pada 9 Mei depan, mahkamah sepatutnya membenarkan pendengaran serta membuat keputusan dengan kadar yang segera.
Sama ada kes Tian Chia dan Dr. S Stream ditolak atau mereka dibenarkan menyertai semula pilihanraya di Parlimen Batu dan DUN Rantau, ia mesti diputuskan dengan segera sebelum 9 Mei.
Dengan itu, jika kes mereka ada asas dan berjaya memenanginya kerana SPR terbukti melakukan kesilapan dan halangan memasuki dewan semata-mata kerana tiada pas adalah tidak sah, kedua-dua calon berkenaan masih mempunyai masa untuk berkempen dan menyertai pilihanraya.
Jika kes mereka ditolak pula, maka biarlah rakyat akhirnya menghukum keputusan itu melalui penolakan di seluruh negara terhadap BN.
Setidak-tidaknya, sama ada mereka dibenarkan bertanding atau sebaliknya, ia dapat diketahui oleh seluruh rakyat sebelum tarikh pengundian diadakan.
Tiada guna jika kes mereka ini yang dibawa ke mahkamah esok, tetapi akhirnya hanya diputuskan selepas 9 Mei nanti.
Walaupun kiranya Tian Chia dan Dr. S Stream berjaya memenangi kes masing-masing dan pilihanraya kecil perlu diadakan semula atas arahan mahkamah, namun pilihanraya yang diadakan selepas 9 Mei sudah berbeza keadaannya, malah mungkin tidak berguna apa-apa lagi.
Ketika itu, kerajaan baru - sama ada BN atau Pakatan Harapan - sudah pun terbentuk dan sebarang pilihanraya kecil sudah tidak memberi sebarang kesan kepada kedua-dua belah pihak.
Suatu perkara yang harus diingatkan ialah keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan. (ShahbudinHusin 29/04/2018)