Update [Video Najib sekarang sudah ada tentera sendiri, kata Dr M] Peluang mencipta sejarah teragung. >> Berita Malay 18

selasa, 3 April 2018

Peluang mencipta sejarah teragung



Ramai daripada kita bercita-cita membangun diri untuk sekurang-kurangnya mencipta sebuah sejarah. Boleh jadi ianya bermanafaat untuk ramai orang ataupun ianya sekadar untuk kepuasan diri sendiri.
Apapun, keinginan mencipta dan berada di dalam rekod sejarah, semacam sesuatu yang boleh memberi inspirasi hidup. Dan ianya bukanlah sesuatu yang keterlaluan.
Memecah rekod olimpik atau sekecil-kecil pencapaian sukan waima memenangi larian dalam guni mewakili rumah hijau ketika di sekolah rendah juga sebahagian daripada sejarah yang mahu kita ingat.
Ada yang sanggup berhabis kudrat, keringat, wang ringit dan harta benda semata-mata mahu menempa nama dalam sejarah. Lebih malang lagi, ramai yang sanggup menipu hanya untuk berada dalamnya.
Keinginan berada dalam sejarah
Dengan kata lain, semua orang mahu terlibat dalam apa-apa jenis sejarah yang ditulis. Ini kerana mencipta sejarah atau berada dalamnya bagai impian yang mustahil menjadi nyata.
Berahinya menarik minat orang kepadanya. Kita semua inginkan tempat di saat sesebuah sejarah tercipta.
Sebagaimana kita teringin juga melihat sendiri sorakan kemerdekaan di Stadium Merdeka misalnya, atau menjadi saksi kereta buatan Malaysia yang pertama meluncur laju semasa perasmian Jambatan Pulau Pinang tahun 1985 ataupun merasai detik mendebarkan bagaimana Malaysia mengalahkan Indonesia dan memenangi Piala Thomas pada tahun 1992 selepas kali terakhir memenanginya tahun 1967.
Semua sejarah yang terpahat ini tidak akan berulang malah mereka yang mengalaminya sendiri pasti sukar untuk menggambarkannya semula. Ia tentunya menjadi saat paling manis dalam hidup dan jika kita boleh berada di dalam kisah-kisah sejarah tersebut, tentunya lebih manis lagi.
Peluang terhidang depan mata
Namun apakan daya, kita dilahirkan dalam kadar masa yang berbeza, persekitaran dan keperluan yang tidak mungkin sama. Malah latar belakang kita yang berbeza juga menyebabkan kesempatan untuk berada dalam gegelung sejarah tadi menjadi amat mustahil.
Tetapi, rupa-rupanya langit tidak selalunya mendung dan ribut hujan telah berhenti jua. Peluang menjadi saksi sejarah tiba-tiba diusung ke muka pintu kita. Setelah menyaksikan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menguburkan peseteruan lama mereka di mahkamah demi penyatuan rakyat, kita tahu yang sejarah itu ditulis oleh kita sendiri.
Di saat Lim Kit Siang duduk sepentas bersama Dr Mahathir dan berkongsi sasaran menumbang Barisan Nasional, kita semua makin terpinga-pinga dengan aturan Tuhan yang tidak pernah terbayangkan walaupun seratus tahun lagi.
Dan apabila Dr Mahathir bersama bekas tokoh-tokoh besar Umno membentuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang kemudiannya berkerjasama pula dengan musuh lama daripada parti-parti pembangkang, peluang menjadi saksi sejarah ini bagai terhidang tanpa dipaksa.
Sejarah baru akan ditulis
Sudah tentunya yang paling manis ialah apabila kita akan diberi peluang mencipta sejarah baru menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang jauhnya hanya selang satu hela nafas Dato Seri Najib dengan kita.
Ya. Kita bakal dinobatkan sebagai mereka yang mencipta sejarah menumbangkan Barisan Nasional. Kita semua.
Sejarah akan ditulis buat pertama kalinya bahawa rakyat Malaysia bangkit dengan berani bersama semua bangsa tanpa batas agama, sama-sama berjuang membebaskan diri mereka dari belenggu kepayahan hidup dibawah pemerintahan Barisan Nasional.
Anak-anak cucu-cicit kita pasti akan mengenang budi yang kita lakukan pada hari itu.
Siapa sangka kita boleh menikmati rasa bangga menjadi sebahagian daripada sejarah itu nanti. Kita semua akan berada di dalam sejarah baru yang akan ditulis itu nanti.
Biarpun persempadanan semula diwarta segera atau beratus akta anti berita palsu digubal dan muncung senapangnya dihala kepada pembangkang, sejarah yang mahu dicipta ini tidak mampu ditahan-tahan lagi.
Keinginan menjadi sebahagian daripada sejarah menumbangkan Barisan Nasional telah melangkaui segala cita-cita mulus yang lain.
Siapa sangka peluang memahat sejarah baru buat tanahair tercinta ini betul-betul berada di depan mata. Siapa pernah menduga yang kita akan berada di dalamnya ketika sejarah yang sebegini agung bakal tercipta! – Roketkini.com

Subscribe to receive free email updates: