Update CUEPACS harap k'jaan umum awal tarikh bonus, beri lebih daripada RM500 >> Berita Malay 18

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan tarikh pemberian bonus lebih awal kepada semua penjawat awam di setiap peringkat bagi memudahkan mereka membuat perbelanjaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk memberi bonus Hari Raya Aidilfitri tersebut pada nilai melebihi RM500.

“Kami di CUEPACS berharap pemberian bonus ini dapat dilakukan secepat mungkin bagi memudahkan penjawat awam untuk membuat persiapan Aidilfitri.

“Ini kerana, jika bonus tersebut dapat diberikan lebih awal, ia pasti memberi kelegaan buat semua penjawat awam khususnya bergaji rendah,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan memberi bonus kepada 1.6 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri.

Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, jumlah bonus tersebut masih belum dimuktamadkan lagi. - UTUSAN ONLINE

loading...

Subscribe to receive free email updates: