Update (DEMOCRAZY) HALANG Husam Musa, Wan Rahim Masuk Pejabat Kerajaan TIDAK Munasabah >> Berita Malay 18


KOTA BHARU: Larangan terhadap dua pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) dari memasuki semua jabatan kerajaan negeri dan enam istana di Kelantan dianggap pelik serta tidak pernah berlaku dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed, berkata larangan yang dikeluarkan menerusi edaran pekeliling kepada kakitangan kerajaan negeri kelmarin terhadap Naib Presiden AMANAH, Husam Musa dan Pengerusi AMANAH negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yang dianggap tidak wajar dan tidak munasabah dengan menghalang mana-mana individu untuk berurusan dengan agensi kerajaan.
"Kami tidak tahu punca arahan itu dikeluarkan sebab setakat ini tidak menampakkan sebarang krisis dengan kerajaan negeri mahupun pihak istana.
"Kita menghormati larangan dari memasuki istana kerana ia adalah kawasan peribadi tapi premis kerajaan adalah tempat awam.
"Pekeliling ini amat tidak wajar lebih-lebih lagi apabila membabitkan larangan kepada pimpinan parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan sekarang untuk memasuki mana-mana premis kerajaan untuk menjalankan urusan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
NSTP hari ini melaporkan dalam pekeliling yang dikeluarkan pada 27 Mei lalu, dua pemimpin AMANAH terbabit disenaraikan antara yang dilarang memasuki Kompleks Pejabat Kerajaan di Kota Darulnaim, semua pejabat Kerajaan Negeri Kelantan dan enam istana di negeri ini.
Pekeliling itu turut memberi amaran mana-mana pegawai kerajaan yang ingkar arahan boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Kelantan (Kelakuan dan Tatatertib) Tahun 1996 atau mana-mana peraturan yang berkuat kuasa serta merta.
"Kita tidak melihat dari sudut dendam tapi daripada segi pentadbiran ia amat tidak wajar sebab tiada dalam sebarang peraturan dan akta malah hukum Islam sendiri yang boleh menghalang seseorang individu untuk berurusan dengan jabatan kerajaan kecuali ada sekatan dari mahkamah.
"Kita serah kepada rakyat untuk menilai sebab ini adalah satu sikap yang ditunjukkan oleh sebuah kerajaan yang mendakwa menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran malah melihat ini adalah satu percubaan untuk mewujudkan satu hubungan tidak harmoni antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.

Subscribe to receive free email updates: