Update Malaysia, Singapura kerjasama bawa pulang wang 1MDB >> Berita Malay 18

Malaysia, Singapura kerjasama bawa pulang wang 1MDB
Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia bermesyuarat dalam usaha membawa pulang wang kepada kerajaan Malaysia.
(Ubah saiz teks) 
 
PUTRAJAYA - Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama membawa pulang sejumlah wang kepada kerajaan Malaysia yang dipercayai telah diseleweng daripada Syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Petugas Khas 1MDB Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kerjasama kedua-dua pihak juga bertujuan bagi mengumpul bahan bukti serta mengesan saksi-saksi di Singapura secepat mungkin.

“Selain itu, pasukan ini juga akan melakukan money trail bagi mengesan wang serta aset-aset yang masih wujud,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, kedua-dua pasukan hari ini mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini.

Mesyuarat dihadiri sembilan pegawai kanan pasukan siasatan Singapura terdiri daripada wakil Pejabat Peguam Negara Singapura, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura dan Autoriti Kewangan Singapura (MAS).

Manakala, Malaysia diwakili oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB terdiri daripada Pejabat Peguam Negara, SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia dianggotai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Subscribe to receive free email updates: