Update KPM kaji semula cadangan benarkan alat peranti dibawa ke sekolah >> Berita Malay 18

IPOH – Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula cadangan membenarkan pelajar membawa alat peranti ke sekolah bagi tujuan membuat rujukan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, pihaknya akan membuat keputusan selepas melihat keperluan penggunaan peranti tersebut termasuk beberapa isu yang perlu diberi perhatian seperti keselamatan dan prasarana yang cukup.
“Kita tidak mahu pelajar mempunyai alat peranti namun perisian yang digunakan tidak lengkap dan rangkaian internet jalur lebar yang rendah atau pelajar sendiri tidak mesra dengan teknologi sedia ada tersebut.

“Kesemua faktor tersebut perlu berjalan dengan seiring,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Pendidikan Bersama Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Mohd. Ismail Abdul Aziz dan Timbalan Pengarah PUO, Muhammad Zubir Mohd. Hanifah.

Tambah Maszlee, dalam kes tersebut, pihaknya tidak mahu menekankan soal alat peranti semata-mata kerana ia hanya memberi manfaat kepada satu pihak sahaja.

“Sekiranya kita hanya tekankan aspek alat peranti sahaja, hanya kontraktor yang mendapat untung sedangkan pelajar pula tidak mendapat manfaat yang sepatutnya dalam perkara ini,” jelasnya.

Sumber: Kosmo! Online
loading...

Subscribe to receive free email updates: