Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis harus dijadikan platform rakyat pelbagai kaum untuk memberi amaran awal kepada kerajaan Pakatan Harapan atas segala janji dalam manifestonya yang tidak dapat dipenuhi dalam masa ditetapkan.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya rakyat melepaskan peluang untuk memberi isyarat kepada Pakatan Harapan ( PH) dalam PRK itu, parti itu akan menjadi lebih lalai dalam melaksanakan janji-janjinya pada rakyat di masa akan datang.
“Mereka tidak akan mengambil berat dengan janji yang mereka berikan untuk pancing undi sebelum ini dan mereka rasakan rakyat boleh ditipu dan tidak akan berbuat apa-apa sekiranya mereka tidak tunai janji.
“Selangor tak jatuh, kerajaan tak jatuh sekiranya Pakatan Harapan kalah dalam PRK Sungai Kandis ini, tetapi jika mereka menang, mereka akan kata ‘tak apa kita tidak tunai janji’ dan itu rakyat membiarkan satu situasi bahaya untuk jangka panjang.
“Mereka bolehlah kata manifesto bukan janji, bukan Bible dan manifesto mereka hanya garis panduan. Ini pertama kali saya dengar sebuah parti mengatakan bahawa manifesto mereka adalah garis panduan, bukan untuk dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Annuar berkata, PRK DUN Sungai Kandis bukanlah menumpukan kepada ‘penggabungan’ Pas dan UMNO tetapi apa yang mahu ditonjolkan adalah bagaimana rakyat perlu bangkit untuk menuntut janji-janji kerajaan Pakatan Harapan semasa pilihan raya lalu.
“Isu sekarang bukan isu Pas dan UMNO. Cuma kebetulan kita punya titik pertemuan sama dan merasakan rakyat terancam kerana beri mandat pada satu parti atas komitmen dan parti mereka tetapi janji-janji parti itu tidak ditunaikan,” katanya.
Menurutnya, beliau juga ingin mencadangkan supaya debat antara kerajaan dengan pembangkang dianjurkan selepas tamat tempoh 100 hari pelaksanaan manifesto seperti yang dijanjikan mereka sebelum ini.
“Ini penting untuk kita melihat dan menilai kembali pelaksanaan segala janji dan manifesto yang digunakan untuk memancing undi sebelum pilihan raya umum lalu.
“Sekiranya tiada pemimpin pihak pembangkang yang mahu ambil bahagian, saya tawarkan diri untuk berdebat,” katanya.