Bekas ketua hakim negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyifatkan Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil (OKK) yang diguna pakai sejak 1953 ketinggalan zaman dan mempertikaikan denda RM25 dikenakan ke atas 2 pelancong asing menari di tembok sebuah masjid Kota Kinabalu, bulan lalu.
Katanya, beliau pernah mencadangkan peguam negara meminda OKK untuk menambah hukumannya supaya sesuai dengan keadaan semasa, tetapi tiada perubahan dilakukan sehingga kini.
“OKK 1953 adalah satu undang-undang yang sudah ketinggalan zaman. Hukumannya terlalu rendah. Sejak 1970, semasa saya menjadi majistret, saya menyuarakan OKK 1955 yang dipakai di Semenanjung Malaysia patut dipinda untuk menambahkan hukumannya.
“Dua tahun lepas, saya menulis kepada peguam negara pada masa itu untuk memindanya. Malangnya, hingga sekarang ia kekal demikian. Di Sabah juga serupa,” tulisnya dalam blognya semalam.
Pada 27 Jun lalu, Majistret Cindy McJuce Balitus menjatuhkan denda masing-masing RM25 atau penjara 7 hari ke atas Zhang Na, 25, dan Wang Han, 37, yang mengaku bersalah menari di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada 23 Jun lalu.
Dua pelancong China yang merupakan guru tarian itu didakwa berkelakuan tidak senonoh di kawasan awam dan mereka didakwa di bawah Seksyen 15 OKK Sabah.
Kejadian itu mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada pemimpin Sabah beragama Islam dan Kristian, dengan ada yang mengkritik denda RM25 terlalu ringan.
Abdul Hamid berkata, berdasarkan fakta kes itu, Seksyen 15 OKK 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 hari dan denda RM25 paling sesuai digunakan untuk mendakwa 2 wanita terbabit.
“Saya telah meneliti peruntukan-peruntukan Kanun Keseksaan, yang paling dekat adalah Seksyen 298A,” katanya sambil menambah 2 tertuduh mungkin tidak akan mengaku bersalah kerana Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman berat, iaitu penjara tidak kurang 2 tahun dan tidak melebihi 5 tahun.
Beliau turut mendapati reaksi berbeza antara umat Islam dan bukan Islam, termasuk exco dan wakil rakyat berhubung keputusan mahkamah itu.
“Ia mencemari kesucian masjid, tempat ibadat orang Islam. Mereka tidak puas hati dengan hukuman itu yang pada pandangan mereka terlalu ringan.
“Sebaliknya, orang bukan Islam di Sabah, kebanyakannya beragama Kristian berpendapat itu perkara kecil yang tidak sepatunya diperbesarkan dan polis tidak sepatutnya mengambil tindakan terhadap mereka.
“Kita telah lihat perbezaan pendapat di antara menteri pelancongan dan timbalannya. Dua ahli Parlimen juga berlainan pendapat. Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman (beragama Islam) berpendapat hukuman itu ringan, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin (besar kemungkinan beragama Buddha) mengatakan ia berpatutan.”
Beliau berkata, umat Islam turut membandingkan hukuman ke atas 4 pelancong Eropah berbogel di puncak Gunung Kinabalu yang disifatkan suci oleh masyarakat di Ranau, pada Mei 2015 dan kebetulan 3 hari kemudian, gempa berukuran 6.0 pada skala Richter yang meragut 16 nyawa dan 2 orang hilang dikaitkan dengan perbuatan pelancong itu.
Abdul Hamid berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, Dean Wayne Daly menjatuhkan hukuman penjara 3 hari dan denda RM5,000 kepada 4 tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan.
Katanya, hakim menerima pengakuan bersalah mereka sebagai faktor meringankan hukuman, tetapi menyatakan tindakan mereka memberi kejutan kepada negara dan menimbulkan kemarahan orang ramai.
“Dalam kes ini (pelancong menari di tembok masjid), pendakwaan hanya dilakukan seorang inspektor polis berbanding kes Gunung Kinabalu di mana 3 timbalan pendakwa raya (TPR) hadir di mahkamah.
“Soalnya, adakah kertas siasatan itu dibawa ke pengetahuan TPR? Jika ya, adakah pertuduhan itu dibuat atas arahan atau dengan persetujuan TPR? Jika tidak, mengapa?
“Adakah kerana kesuntukan masa sebab tertuduh akan pulang ke negara mereka malam itu juga atau pegawai pendakwa mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan kes itu?” soalnya sambil berkata hakim dan majistret 2 kes itu serta pegawai pendakwa dalam kes pelancong menari beragama Kristian.