Menteri Ekonomi ketika berceramah di kempen PIlihan Raya Kecil Sungai Kandis semalam berkata,
Kami janji 10 perkara dalam 100 hari, 8 perkara sudah ditunaikan.
Azmin Ali tersilap fakta. Sebenarnya bukan 8 perkara sudah ditunaikan tetapi kesemua 10 janji Manifesto Pakatan Harapan telah berjaya ditunaikan dalam masa tidak sampai 100 hari!
1. Hapuskan GST
Kerajaan berjaya menghapuskan GST. Hasilnya Rakyat tidak lagi nampak cukai GST di atas resit pembelian. Perlaksanaan cukai SST berbula September hadapan, walaupun akan meningkatkan harga barang, tetapi Rakyat tidak perlu bimbang kerana ianya tidak tertera dalam resit.
2. Subsidi petrol bersasar
Kerajaan bukan sahaja berjaya memberi subsidi petrol untuk Rakyat bersasar sahaja malah Kerajaan berjaya menanggung subsidi untuk kesemua Rakyat termasuk Rakyat kaya yang berkemampuan dan warga asing serta jiran negara tetangga.p
Rakyat tidak lagi melihat harga minyak turun naik. Jika harga minyak naik, Kerajaan akan tampung subsidi. Jika harga minyak turun, Rakyat akan bayar lebih, bakinya Kerajaan ambil.
3. Hapuskan hutang peneroka Felda
Peneroka Felda tidak lagi mendapat bayaran bulanan kerana hutang mereka dihapuskan dengan penghapusan bayaran bulanan.
4. KWSP untuk surirumah
Kerajaan berjaya menyediakan KWSP untuk surirumah di mana caruman KWSP surirumah diambil dari caruman KWSP suami.
5. Menyamaratakan gaji minimum
Kerajaan telah berjaya menyamaratakan gaji minimum dan perlaksanaannya akan bermula selepas 5 tahun sebagaimana didakwa Menteri Sumber Manusia.
6. Menangguhkan bayaran PTPTN
Kerajaan berjaya menangguhkan bayaran PTPTN di mana peminjam tetap diwajibkan membayar pinjaman. Penangguhan bayaran PTPTN telah berjaya ditangguhkan.
7. Menyiasat skandal 1MDB
Kerajaan telah menyiasat skandal 1MDB dan sehingga kini kerajaan masih lagi menyiasat. Cuma bukti skandal penyelewengan sahaja masih belum ditemui.
8. Mengembalikan status Sabah Sarawak
20% janji royalti minyak kepada Sabah Sarawak berjaya ditunaikan seperti yang dijanjikan. Cuma ianya bukan 20% dari hasil bumi melainkan 20% keuntungan selepas ditolak cukai dan kos.
Walaupun jumlah wang yang diterima 20% perkongsian keuntungan ini lebih rendah dari 5% royalti hasil bumi seperti yang diamalkan sejak dulu, tetapi Rakyat Sabah Sarawak bergembira kerana angka 20% adalah lebih besar dari 5%.
9. Skim Peduli Sihat
Skim Peduli Sihat telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Sebelum ini Rakyat dipaksa membayar RM1 untuk rawatan pesakit di Klinik 1Malaysia, kini Rakyat tidak lagi dipaksa membayar RM1 apabila rakyat terpaksa membayar lebihan baki sebanyak RM30 ke RM70 di klinik swasta.
10. Kaji semula projek mega
Kerajaan telah berjaya mengkaji semula projek mega. Hasil selepas kajian dijalankan, kerajaan akan meneruskan projek mega dengan kos yang lebih tinggi.