Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengaku beliau tidak terkejut dengan pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dengan harga RM2.55 bilion.
Katanya, ini kerana beliau sendiri merupakan individu yang diminta meletakkan jawatan Menteri Besar pada 2014 berikutan kecenderungan kepemimpinan PKR mahu satu tawaran yang tinggi diberikan kepada Splash.
Beliau berkata, pendiriannya pada waktu itu tetap sama iaitu menolak permintaan berkenaan demi menjaga kepentingan rakyat sehingga dipecat keahlian oleh parti berkenaan dan menjadi wakil rakyat bebas pada Ogos 2014.
“Secara dasarnya saya tidak terperanjat dengan pengumuman ini (pengambilalihan) kerana sememangnya antara sebab saya diminta meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014 adalah kerana kecenderungan pimpinan PKR yang mahukan tawaran yang tinggi diberikan kepada Splash dan saya atas dasar menjaga kepentingan rakyat telah menolaknya,” katanya dalam Facebook, semalam.
Splash bersetuju memberi diskaun sebanyak 28 peratus berdasarkan nilai buku bersih syarikat terbabit sebanyak RM3.54 bilion pada 30 Jun lalu.
Keadaan itu menjadikan Air Selangor bakal muncul sebagai syarikat tunggal yang menjalankan proses merawat dan mengagih air terawat kepada pengguna Selangor, Lembah Klang dan Putrajaya menjelang tahun depan.
Tambah Abdul Khalid, pengambilalihan dengan nilai RM2.55 bilion itu akan menjadikan rakyat negeri berkenaan membayar lebih 10 kali ganda dari apa yang ditawarkan kerajaan negeri Selangor pada 2013.
Katanya, strategi kerajaan negeri hari ini telah memberi peluang kepada pemilik saham Splash mendapat keuntungan dan pampasan yang berlebihan.
“Pada masa sama, ia juga telah meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau percaya kerajaan hari ini akan mengkaji semula atau mungkin menghentikan program pemberian air percuma kepada semua isi rumah di seluruh Selangor yang telah dilaksanakan sejak PKR mengambil alih kerajaan negeri pada tahun 2008 yang lalu.
“Saya doakan agar rakyat Selangor tabah menghadapi perubahan yang besar ini,” ujarnya.