Ambil ahli baharu bukan bermakna bawa budaya Umno
Budaya Umno tidak akan sesekali meresap ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) walaupun parti itu mengamalkan dasar terbuka dalam pengambilan anggotanya.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu mempunyai dasar dan prinsipnya yang tersendiri yang harus dipegang setiap individu yang mahu menjadi anggota parti itu.
“Kita pertahankan kepentingan itu (prinsip dan dasar parti) dan kita akan tengok sama ada mereka (anggota baharu) ini sesuai atau tidak.
“Jika kami dapati mereka tidak sesuai kita tidak beri mereka masuk dalam parti, kita ada kriteria kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan berkelompok Bersatu Wilayah Persekutuan malam tadi.
Beliau mengulas kenyataan anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin baru-baru ini yang dilaporkan berkata kira-kira 40 anggota Parlimen dari UMNO dikatakan berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu.
Menurut A. Kadir, kesemua mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi Bersatu,Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin serta para kepimpinan tertinggi parti itu sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.
Menjawab perkara itu, Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengakui terdapat beberapa anggota Parlimen dari UMNO yang datang menemuinya dan Dr Mahathir untuk meluahkan beberapa perkara.
“Dalam pertemuan itu saya jelaskan dasar kita dari segi soal parti, penerimaan keahlian dan sebagainya.
“Kita amalkan dasar terbuka…sesiapa nak sertai parti dia boleh sertai, tidak semestinya dia MP (Anggota Parlimen) atau ahli biasa pun kita ambil,” tambahnya.-Bernama.
MD.