“Secara jujur saya ingin sebut bahawa beberapa perkara yang dibentangkan adalah baik kepada PTPTN, namun sebagai sebuah kerajaan yang telah berjanji kepada rakyat sudah jelas Bajet 2019 mengesahkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan apa yang dijanjikannya.”
Demikian ulas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Annuar Nasarah yang juga mantan pengerusi PTPTN berkaitan pembentangan belanjawan 2019 yang dilaksanakan hari ini oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Katanya, pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam melebihi RM1,000 sebulan bermakna kerajaan mewajibkan potongan gaji kepada semua peminjam bergaji RM1,000 ke atas.
“Ini menunjukkan apa yang dijanjikan oleh Kerajaan PH untuk memulakan bayaran balik ditangga gaji RM4000 dengan sendirinya tidak dilaksanakan, sebaliknya mewajibkan pula potongan gaji bermula pendapatan RM1000 ke atas.
“Sebelum ini PTPTN memang melaksanakan sistem bayaran balik melalui potongan gaji, namun ia bukanlah suatu yang wajib sebaliknya dilaksanakan atas persetujuan peminjam.
“Jadi apa yang dilakukan Kerajaan PH ini bertentangan dengan Janji 100 Hari PH.”
Ulasnya, Kerajaan PH juga mencadangkan potongan pinjaman kepada peminjam daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan Kelas Pertama yang difahamkan untuk peringkat Ijazah sahaja.
“Dasar baru ini bermakna bukan semua peminjam mendapat keistimewaan ini.
“Selama ini Polisi “Pengecualian Bayaran” telah dilaksanakan kepada lepasan Ijazah Sarjanamuda Kelas Pertama. Sejak dilaksanakan oleh PTPTN sehingga Mac 2018 sejumlah 45 ribu pelajar mendapat nikmat ini dengan hampir RM1.5 Bilion PTPTN belanjakan, Malah apa yang dilaksanakan dahulu nikmatnya diperolehi oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang.
“Ini sebagai suatu usaha mewujudkan daya saing dikalangan pelajar.”
Bagaimanapun katanya, dasar baru Kerajaan PH ini hanya akan dinikmati oleh peminjam B40 sahaja.
“Malah kemungkinan ” potongan pinjaman juga bermaksud bukan ” pengecualian bayaran ” sebaliknya hanya dipotong pinjaman mengikut peratus tertentu sahaja.
“Secara umumnya perkara yang dinyatakan dalam Bajet 2019 berkaitan PTPTN baik kepada PTPTN kerana telah dilaksanakan sebelum ini cuma ditambahbaik sahaja. Malah banyak yang mereka tentang dulu terus dilaksana. Ini bermakna apa yang Kerajaan BN lakukan sebelum ini adalah betul.
“Umpamanya pelepasan cukai yang diumumkan dari RM6000 kepada RM8000 adalah lanjutan dilakukan oleh Kerajaan BN sebelum ini. Ia menepati perancangan PTPTN sejak Kerajaan BN iaitu mengalihkan kebergantungan pelajar kepada pinjaman sebaliknya kepada simpanan sesuai dengan imej ” Tabung Pendidikan ” yang dijenamakan baru oleh Kerajaan BN.”
Namun katanya, ia diputar belit oleh PH ketika itu termasuk oleh Pengerusi PTPTN sekarang.
“Hakikatnya sekali lagi rakyat ditipu kerana disebut tadi beberapa perkara yang diumum terutama berkaitan potongan gaji ternyata menunjukan Kerajaan PH tidak menunaikan janji iaitu menangguhkan bayaran balik bagi gaji di bawah RM4000 dan tiada lagi ‘Pengecualian Bayaran’ sebaliknya ‘potongan pinjaman’ yang hanya dinikmati oleh mereka dikalangan B40 sahaja.
“Sebetulnya, dalam apa keadaan pun Bajet Kerajaan PH 2019 nampaknya masih gagal mengemukakan program atau dasar dasar baru yang lebih jelas.”
Tegas beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong, hampir kebanyakan diumumkan adalah apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN dahulu.
“Malah banyak daripadanya dahulu mendapat bantahan daripada mereka namun ia dilaksanakan semua dan hanya bertukar nama dan penambahbaikan disana sini sahaja.”