Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin hari ini membidas dua menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menasihatkan mereka supaya mendengar nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Menulis di blog, atas kapasiti peribadi, penasihat media dan komunikasi pejabat perdana menteri itu menyebut secara langsung nama dua menteri.
Pertama, beliau merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, yang bertanggungjawab ke atas perpaduan negara dan integrasi nasional tetapi katanya, tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.
“Perdana menteri sudah menasihati beliau. Tapi perdana menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar.
“Jadi Waythamoorthy yang belum lama kenal beliau janganlah gung-ho dan selesa sangat dengan kedudukannya.
“Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir. Tolonglah jangan malukan Raja kita dan perdana menteri kita,” katanya.
Kadir merujuk kepada peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights di Subang Jaya yang tercetus awal pagi Isnin dan berlarutan selama tiga malam.
Selain tindakan perusuh yang membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City, kejadian itu turut menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah.
Sehingga hari ini polis menahan 30 individu bagi membantu siasatan manakala beberapa trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan kekuatan puluhan anggota serta pegawai masih berkawal untuk tempoh 24 jam.
Selain Waythamoorty, Kadir juga menyelar Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang katanya baru sahaja “dikuliahkan” oleh perdana menteri.
“Saya setujulah dengan perdana menteri bahawa kita sudah ada banyak sekolah agama – sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz – jadi tak perlulah nak “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan.
“Kembalikanlah sekolah kebangsaan – rendah dan menengah – kepada tujuan asalnya iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.
“Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama,” katanya.
Menurutnya, di pihak lain pula semakin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya.
Kadir walau bagaimanapun tidak menjelaskan isu yang dirujuknya itu. Namun adalah dipercayai beliau menyentuh tentang kantin berasingan mengikut bangsa yang diamalkan di sebuah sekolah mubaligh di Melaka.
Beliau berkata setakat ini dirinya hanya menyebut dua nama sahaja tetapi ini tidak bermakna menteri-menteri lain berjaya.
“Cuma kali ini bukan giliran anda. Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan anda,” katanya. - Malaysiakini #CelahGelegar