'40 penyamun' mencari pintu Pakatan Harapan
Kata watak saudagar unta dalam filem klasik Tiga Abdul arahan P Ramlee, “Jual orang lagi untung dari niaga unta.” Kita pun ketawa!
Orang yang boleh dijual beli dalam era Malaysia baharu ini bukanlah hamba abdi di pasar seperti zaman di negeri Isketambola. Orang yang boleh dijual beli kini adalah politikus. Lebih tepat lagi wakil-wakil rakyat.
Sejak Mustapa Mohamad menyerahkan borang keanggotaan BERSATU, cerita ramai lagi YB Umno akan menyeberang ke Pakatan Harapan segera tersebar. Ada yang menghitungnya sampai 40 orang.
Bagi BERSATU, kehadiran bertempayan-tempayan YB Umno mungkin dipercayai sebagai cara paling mudah untuk menguatkan parti dengan sekelip mata. BERSATU walaupun dipimpin Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin tertinggi negara, dengan jumlah menteri dari parti itu yang relatif ramai, tetapi BERSATU masih parti kecil—kalaupun bukan terkecil—dari jumlah bilangan ahli parlimen dalam gabungan Pakatan Harapan.
BERSATU baru dua tahun usianya. Bahkan AMANAH sebagai parti serpihan PAS pun lebih lama tertubuh. Sepertimana sebuah syarikat, tak ada jalan singkat untuk menjadikan sesebuah parti itu kuat dalam setahun-dua. Di kampung-kampung, logo BERSATU pun tidak cukup dikenali masyarakat lagi.
Saya yakin adalah tidak sejajar dengan harapan orang Melayu di era Malaysia baharu kalau ada usaha untuk menjadikan BERSATU laksana Umno dalam sejarah zaman gelap BN dahulu. Bahkan BN 2.0 pun bukan bentuk gabungan yang mahu diwujudkan dalam Pakatan Harapan.
Alasan boleh diberikan, yakni tak semua YB Umno yang sedang menunggu masa menyeberang mempunyai beban atau rekod yang kotor. Ada juga yang baik. Contohnya Tok Pa sendiri yang pada mulanya bertepis, bertampar menafikan dia akan menyertai BERSATU, akhirnya menyerahkan borang. Dalam acara yang sama, dia segera mendapat kad keanggotaan!
Sembahyang istikharah pun digunakan sebagai ayat penunduk agar sukar bagi sesiapa mengukur kesahihannya. Hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahui.
Pada peringkat ini, ketika Pakatan Harapan sudah berjaya membentuk kerajaan, soal kotor bersih bukan satu-satunya pertimbangan bagi menerima YB atau pemimpin Umno.
Ada pertimbangan lain yang lebih penting perlu dihitung. Sentimen dan kebencian rakyat terhadap pemimpin Umno sebenarnya termasuklah menyentuh sikap mereka yang suka membodek selama mereka mahu mendapat kedudukan dalam Umno dan kerajaan.
Begitu mudahkah mencuci tangan?
Mereka tidak pernah berpihak kepada rakyat, melainkan asyik cenderung kepada pemimpin atasan semata-mata. Rakyat merupakan keperluan lima tahun sekali apabila sampai waktu pilihan raya.
Misalnya, apa sahaja yang dilakukan mantan PM, Najib Razak sebelum 9 Mei adalah dianggap benar sebenar benarnya. Termasuklah menyentuh skandal 1MDB yang kini terdedah satu persatu. Sikap tidak tegas, biasa membodek bahkan ada kalanya bacul itu turut ditunjukkan oleh watak sebaik dan sesuci Tok Pa sepanjang dia bersama Umno.
Oleh itu dia jugalah antara yang menyumbang kepada buruk dan hodohnya wajah Umno yang wujud sekarang. Begitu mudahkah dia mencuci tangan dengan sekeping borang dan kata-kata di sebalik solat istikarah?
Sedangkan dalam Pakatan Harapan, mereka yang jujur berjuang cukup ramai. Tanpa Tok Pa, bahkan tanpa “40 penyamun” yang sedang menunggu mahu menyeberang, Pakatan Harapan tetap boleh menang dengan sokongan rakyat yang insaf selain muak dengan perangai lapuk pemimpin Umno.
PKR, DAP dan AMANAH nampaknya lebih tegas dalam hal ini. Ketegasan itu tentu disebabkan pemimpin ketiga-tiga parti berkenaan lebih merasakan betapa perih payahnya perjuangan. Mereka bukanlah di kalangan tokoh yang setahun dua berdepan tekanan Umno-BN, sebelum tak semena-mena menjadi “menteri mi segera.”
Dan sudah tentu broker politik kini sedang berkeliaran. Sudah tentu mereka cukup sebuk mengatur pertemuan siang dan malam. HP-nya tak henti-henti berdering dan ‘harga’ serta tawar-menawar sedang turun-naik. Lebih aktif dan mendebarkan berbanding mana-mana papan bursa saham di mana pun di dunia.
Memang sukar untuk YB-YB Umno itu percaya bahawa masa depan Umno masih tersisa. Terutama tatkala melihat puluhan pendakwaan yang dikenakan ke atas Najib mahupun presiden mereka sekarang, Zahid Hamidi.
Saya juga menyaksikan seorang mantan YB Umno, sejurus BN kalah, terus mengisi borang PKR. Tidak lama selepas itu, dia dikhabarkan mengisi pula borang BERSATU. Dia betul-betul menjadi tak tentu arah. Menjadi serba bingung dan serba tak kena. Malam dirasakan panas, siang dirasakan seram.
Dia hanyalah seorang mantan YB, dan tidak pernah pula menjadi menteri. Segala upaya salin kulit cuba dibuat, tetapi tidak kiralah sama ada dia “ular lidi” atau “ular sawa”, ular tetap ular. Berpindah sarang tidak bererti dia terlupa untuk membelit atau tercabut pula taring racunnya.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.